|
Orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi ‘Repotlah’ sebagai cara melaporkan aktiviti perokok di tempat awam dengan pantas.
PETALING JAYA: Orang awam kini boleh melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai aktiviti merokok di tempat awam menerusi aplikasi ‘RepotLah’.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RepotLah, Keasavan Hari Krishnan, berkata pihaknya melancarkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Selangor Bebas Asap Rokok (Selbar) untuk membasmi tabiat merokok di tempat awam, pada 22 Jun.
Katanya, kerjasama itu diharap dapat meningkatkan kesedaran orang awam tentang bahaya merokok di tempat awam serta menggalakkan orang ramai melaporkan isu itu dengan mudah, melalui aplikasi berkenaan.
“Bayangkan satu aplikasi yang memberi akses kepada sebarang isu yang anda hadapi — itulah rancangan RepotLah pada masa hadapan iaitu mendemokrasikan cara orang menghantar laporan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Keasavan berkata, masyarakat tidak memandang serius terhadap larangan merokok di kawasan awam, yang mana aktiviti berkenaan boleh dikenakan saman atau penjara.
“Orang ramai mula melanggar peraturan apabila penguatkuasaan tidak meluas. Seperti yang kita sedia maklum, merokok adalah satu tabiat bahaya kepada kesihatan dan kita harus berusaha yang terbaik membasminya,” katanya.
Katanya, RepotLah sudah dimuat turun sebanyak 500 kali membabitkan 300 pengguna aktif, setakat ini.
Keasavan menasihati orang awam memuat turun aplikasi itu yang tersedia di “Apple App Store” dan “Google Play Store”.
Menurutnya, orang awam boleh melayari https://repotlah.com/ atau layari mana-mana akaun media sosial RepotLah untuk maklumat lanjut.
|
|