|
6 termasuk penguat kuasa ditahan kes rasuah kelulusan lesen GDL
SEREMBAN: Enam lelaki termasuk dua pegawai penguat kuasa sebuah agensi kerajaan ditahan selepas disyaki terbabit rasuah dalam kelulusan ujian lesen memandu kenderaan barangan (GDL) di sekitar negeri ini.
Semua suspek berusia antara 35 hingga 65 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, di sini.
Menurut sumber, selain dua pegawai penguat kuasa terbabit, baki empat yang ditahan adalah tenaga pengajar dan pekerja di institusi memandu yang menerima bayaran rasuah bagi permohonan lesen kelas GDL itu.
"Lima daripada enam suspek kini direman selepas Penolong Kanan Pendaftar Khairunnisa Kasa membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM hari ini.
"Empat daripada mereka direman lima hari, manakala seorang lagi direman selama tiga hari. Baki seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM disebabkan faktor kesihatan," katanya.
Sumber sama berkata, semua suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM300 hingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) & Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... kelulusan-lesen-gdl
|
|