MUMBAI: Polis di negeri Rajasthan, India melarang perhimpunan awam dan menyekat perkhidmatan internet selama sehari bagi mengelakkan tercetusnya keganasan agama.
Tindakan itu dibuat polis selepas dua individu beragama Islam menyiarkan video yang mendakwa bertanggungjawab membunuh seorang lelaki Hindu.
Seorang pegawai kanan polis di negeri barat laut itu, Hawa Singh Ghumaria, berkata perbuatan jenayah itu menyebabkan gelombang yang mengejutkan ke seluruh negara.
"Kami berada di bawah arahan tegas untuk menghalang sebarang bentuk protes atau demonstrasi yang dirancang untuk mengutuk pembunuhan itu," katanya kepada Reuters.
Melalui video yang disiarkan itu, dua lelaki yang memegang pisau pemotong daging, menyatakan mereka membalas dendam terhadap mangsa atas penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Mereka juga merujuk kepada Nupur Sharma, bekas jurucakap parti pemerintah nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP), yang kenyataannya mengenai Nabi Muhammad awal bulan ini sehingga mencetuskan kemarahan dalam dan luar negara.
Ghumaria menyifatkan serangan berdarah ke atas Kanhaiya Lal di kedai jahit di bandar Udaipur sebagai tindakan keganasan, dan dua suspek kini sedang disoal siasat oleh penyiasat persekutuan.
Menurut seorang pentadbir bandar di Udaipur, Bhawarral Thoda, dua penyerang mengelar kepala dan tekak Lal dalam serangan semasa mangsa mengambil ukuran.
Thoda berkata, tukang jahit itu sudah ditahan atas muat naik di media sosial atas sokongan kepada jurucakap BJP yang dikesan melalui telefon bimbitnya.
Selepas dibebaskan, Lal memberitahu polis pada 15 Jun lalu bahawa dia diancam oleh beberapa kumpulan.
Pihak berkuasa berkata, mereka sudah menyekat perkhidmatan internet di beberapa bahagian Rajasthan untuk menghalang penyebaran video yang dikongsi suspek.
"Suasananya tegang dan hampir semua kedai tutup hari ini," kata Thoda.
Bandar dengan kira-kira setengah juta penduduk ini adalah salah satu tarikan pelancong utama di negeri padang pasir itu dan terkenal dengan hotel mewahnya, termasuk Taj Lake Palace yang terkenal. - REUTERS