Sejak peperangan tercetus, Jokowi menjadi pemimpin Asia Tenggara pertama yang mengadakan pertemuan dengan Zelensky dan Putin.
Ketika bertemu dengan Jokowi, Putin dilaporkan sempat ‘meluahkan perasaan’ mengenai konflik yang berlaku dan kebimbangannya.
Satu daripada kerisauan yang diadukan Putin kepada Jokowi adalah kesan sekatan Barat terhadap banyak perusahaan Russia.
Katanya, sekatan oleh Barat secara tidak langsung memberi kesan kepada ketersediaan bekalan makanan dan baja dalam pasaran global.
Jelas Putin, sekatan Barat tidak menyasarkan produk keluaran ini, namun masih merumitkan proses perniagaan.
“Secara rasminya, makanan dan baja tidak termasuk dalam sekatan yang dikenakan oleh Barat.
“Namun, pemilik syarikat yang menghasilkan produk makanan dan baja, termasuk anggota keluarga mereka dikenakan sekatan Barat.
“Keadaan itu menyukarkan proses tanda tangan kontrak perniagaan,” katanya ketika bertemu Jokowi seperti yang dipetik agensi berita Russia, TASS.
Selain itu, Putin menyatakan, sekatan yang dikenakan terhadap insurans kargo merumitkan transaksi kewangan.
Jelas beliau, sebagai contoh, Belarus merupakan satu daripada negara terkemuka dalam pengeluaran makanan dan baja, namun sekatan secara langsung yang dikenakan menjejaskan bekalan kedua-dua bahan tersebut.
Putin beritahu, punca masalah bekalan makanan dalam pasaran global hari ini adalah disebabkan oleh sekatan yang dikenakan Barat terhadap pelabuhan Russia.
“Barat kenakan sekatan terhadap sejumlah pelabuhan kami yang secara tidak langsung mewujudkan masalah dengan insurans kargo dan penghantaran, sekali gus mencetuskan masalah bekalan makanan dunia,” ujarnya.
RUNDINGAN PBB
Dalam pada itu, Putin menyatakan, masalah bekalan makanan dalam pasaran global kini sedang dibahas oleh Russia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, Russia dan PBB saling bekerjasama untuk mencapai jalan penyelesaian terbaik, termasuk berunding dengan sekutu Russia.
TERIMA NIAT BAIK JOKOWI
Pemimpin Russia itu pada masa yang sama memaklumkan beliau dengan terbuka hati menerima niat baik Jokowi untuk membantu negara ini menyelesaikan konflik dengan Ukraine.
Katanya, Russia bersedia untuk melakukan rundingan dengan Ukraine sekiranya semua syarat dipersetujui dan Barat menarik balik sekatan yang dikenakan.
Selain itu, Putin turut menyifatkan pertemuannya dengan Jokowi sebagai ‘produktif’.
“Saya yakin beberapa persetujuan sudah dicapai hari ini dan kesemuanya akan mengukuhkan lagi hubungan Russia-Indonesia,” jelasnya.
SAMPAIKAN MESEJ ZELENSKY
Sementara itu, Jokowi memaklumkan beliau sudah pun menyampaikan mesej yang disampaikan Zelensky kepada Putin tanpa mendedahkan butirannya.
“Saya sudah jalankan amanah dengan menyampaikan mesej Zelensky kepada Putin.
“Saya juga sudah bersedia untuk membantu memulakan ‘komunikasi’ antara kedua-dua pemimpin tersebut.
“Biarpun situasi masih sukar, namun adalah penting untuk memulakan dialog terbuka antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Jokowi menegaskan, Indonesia amat berharap peperangan antara Russia dan Ukraine dapat diakhiri segera.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin dunia supaya bekerjasama membantu Russia dan Ukraine mencapai jalan penyelesaian konkrit. –
AFP/AGENSI