Kapal persiaran Spectrum of The Sea tiba di Pulau Pinang 8 pagi esok(semalam)
KETIBAAN kapal pelayaran Spectrum of The Sea bakal merancakkan industri pelancongan di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN, 30 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berharap persinggahan kapal persiaran Spectrum of the Sea di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada 2 Julai adalah titik tolak bagi persinggahan kapal-kapal persiaran antarabangsa yang lain pada masa hadapan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi SPPP Datuk Tan Teik Cheng berkata persinggahan kapal persiaran yang dimiliki oleh Royal Caribbean Cruise Ltd (RCCL) itu adalah persinggahan yang ditunggu-tunggu oleh pelbagai industri di Pulau Pinang.
“Saya percaya industri pelancongan serta industri hiliran yang terlibat dengan aktiviti pelancongan akan menikmati faedah dari persinggahan kapal ini. Persinggahan ini bukanlah merupakan persinggahan yang pertama dan terakhir.
“Persinggahan Spectrum of the Sea pada kali ini adalah merupakan titik tolak bagi persinggahan kapal-kapal persiaran antarabangsa yang lain pada masa hadapan. Kapal Spectrum of the Sea sendiri akan berlabuh di Pulau Pinang dua kali seminggu,” katanya.
Tan berkata kapal Spectrum of the Sea yang membawa seramai 3,239 penumpang dan 1,577 kru itu sudah pasti akan merancakkan lagi industri pelancongan di sebelah pulau dan seterusnya memberi impak yang positif kepada ekonomi negeri Pulau Pinang.
Beliau turut menyatakan bahawa SPPP telah bersedia sepenuhnya dalam usaha memberi kerjasama dan sokongan yang padu terhadap ketibaan kapal persiaran itu di Pulau Pinang.
|