Susunan Mahani Ishak
POKOK teratai yang biasanya ditemui tumbuh di dalam kolam, sungai atau lombong dengan kuntuman pelbagai warna dengan saiz yang kecil.
Namun, penemuan pokok teratai terbesar dunia dengan kelebaran daun hampir 3.05 meter tumbuh di Taman Botani Diraja London, baru-baru ini mengejutkan dan menjadi perhatian ramai.
Spesies baharu teratai dari jenis Victoria boliviana ini ditemui oleh sepasukan saintis, sebenarnya sudah hidup liar selama 177 tahun dalam taman berkenaan terletak yang terletak di Kew, di barat daya London.
Daun teratai gergasi itu tergolong dalam satu daripada tiga genus Victoria itu boleh menyokong berat sekurang-kurangnya 79.8 kilogram (kg).
Bunga teratai berkenaan akan berubah daripada putih menjadi merah muda pada malam hari. Penemuan itu menunjukkan pencapaian yang hebat.
Ciri teratai gergasi
Seperti namanya, ukuran daunnya adalah besar dengan diameter boleh mencapai tiga meter dengan panjang antara tujuh hingga lapan meter.
Permukaan daunnya tampak rata dengan tepian daun menguncup ke atas. Bahagian bawahnya pula ditutupi duri yang membantu menyokong daun menahan beban apabila berada di atas air.
Difahamkan bunga tumbuh hingga berukuran 40 sentimeter dan terjadi selama satu musim dengan bantuan kumbang dari genus Cyvlocephala yang meningkatkan proses pendebungaan bunga.
Anggaran berat setiap daunnya mencecah sehingga 31 kg. Teratai adalah spesies semula jadi bersaiz besar tanpa melalui proses penghibridan.
Ia berasal daripada benih asal tanpa mengalami sebarang proses kacukan.
Bunga menguncup waktu malam
Hasil kajian mendapati rahsia tumbesaran gergasi teratai ini terletak pada kitaran hidupnya. Ia bermula sejak proses pendebungaan lagi.
Bunganya akan mengeluarkan aroma buah seperti nanas pada waktu siang.
Bauan manis ini menarik kumbang mendekati bunga pokok teratai ini. Apabila menjelang waktu malam, bunga akan tertutup dan kumbang yang mendekati bunga akan terperangkap di dalamnya. Bunga ini didebungakan oleh kumbang.
Lazimnya pada satu musim, setiap pokok bakal menghasilkan 40 hingga 50 daun dan setiap daun akan membesar lebih daripada tiga meter diameter setiap hari dan ia terus membesar sehingga melebihi ukuran berkenaan.
Mengulas mengenai penemuan teratai Victoria boliviana, Ahli taksonomi, sistematik dan botani lapangan taman itu, Alex Monro, berkata ia sebagai data baharu bagi spesies tumbuhan itu, di samping dapat mengenal pasti spesies baharu dalam genus.
"Ia suatu pencapaian hebat di taman ini. "Bagaimanapun, penting untuk kita mengenal pasti dan mendokumentasikan kepelbagaian tumbuhan bagi melindunginya serta mendapat manfaat secara mapan daripadanya," katanya.
Tingkatkan pengetahuan mengenai teratai
Selain itu, laporan menyebut bahawa kajian menunjukkan, spesies baharu teratai Victoria boliviana sering dikelirukan dengan spesies Victoria amazonica, iaitu salah satu daripada dua spesies teratai gergasi yang diketahui sebelum ini.
Matlamat kajian adalah untuk meningkatkan pengetahuan tentang teratai Victoria.
Lebih menakjubkan, di Kew adalah satu-satunya tempat di dunia yang menanam ketiga-tiga spesies teratai Victoria secara bersebelahan, lantas ia memudahkan proses pengecaman dan perbandingan setiap spesies tumbuhan itu .
Kajian itu mendapati Victoria boliviana berbeza secara genetik daripada dua spesies pokok teratai lain, tetapi paling berkait rapat dengan V cruziana. - AGENSI