|
Ukraine rayu lebih banyak senjata, Russia terus bedil Donbas
Penduduk tempatan di Lysychansk, wilayah Lugansk di Ukraine melihat pameran kelengkapan perang milik tentera Ukraine yang dirampas tentera Russia yang kini menguasai kawasan itu. - Foto REUTERS
KYIV: Ukraine menggesa sekutunya membekalkan lebih banyak senjata ketika tenteranya berusaha memperlahankan kemaraan tentera Russia melalui wilayah timur Donbas, di kala Moscow mengingatkan negara Barat akibat tindakan balas terhadap pencerobohannya.
Presiden Russia, Vladimir Putin, yang memberi isyarat bahawa Kremlin tidak lagi berminat untuk bertolak ansur atau berunding, berkata sekatan berterusan terhadap Russia berisiko untuk mengakibatkan malapetaka kenaikan harga tenaga.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, bertelagah dengan rakan sejawat dari Barat pada mesyuarat G20, apabila mereka mendesak Russia menamatkan sekatan di Kyiv bagi membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine ke negara luar yang berdepan krisis makanan.
Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Kebangsaan Ukraine, Oleksiy Danilov, berkata negara itu masih tidak mempunyai senjata yang mencukupi dibekalkan oleh Barat dan tenteranya memerlukan masa untuk belajar menggunakannya.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menandatangani pakej senjata baharu bernilai AS$400 juta (RM1.8 bilion) untuk Ukraine termasuk empat sistem artileri roket mobiliti tinggi (HIMARS) dan lebih banyak peluru.
Sementara itu, utusan Moscow ke London membayangkan tiada kemungkinan bagi pihaknya untuk berundur dari bahagian Ukraine di bawah kawalan Russia, sebaliknya serangan akan diperluaskan.
Duta Besar, Andrei Kelin, memberitahu Reuters bahawa tentera Russia akan menawan seluruh Donbas di timur Ukraine dan tidak mungkin berundur dari darat di seberang pantai Selatan.
Katanya, Ukraine akhirnya perlu membuat perjanjian damai manakala di barisan hadapan Donbas, pegawai Ukraine melaporkan serangan Russia ke atas bandar dan kampung kini berlipat ganda dalam usaha untuk merebut lebih banyak wilayah.
Kenyataan beliau turut membayangkan bahawa sasaran Russia sekarang ialah memaksa hampir 20 peratus daripada Ukraine yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet sebelum ini dikembalikan kepada Russia.
Anggota Unit infantri Ukraine di jalan ke bandar Siversk memberitahu Reuters, mereka bertahan di pinggir kubu bawah tanah yang ditutupi dengan balak dan beg pasir serta dilengkapi mesingan.
Sementara itu, di bahagian yang diduduki Russia di wilayah Kherson dan Zaporizhzhia di selatan Ukraine, Timbalan Perdana Menteri, Iryna Vereshchuk, menggesa penduduk berpindah bagi membolehkan tentera Ukraine melancarkan serangan balas.
Semalam, Putin membayangkan kemungkinan untuk mencari penyelesaian kepada konflik itu adalah malap, dengan menyatakan kempen Russia di Ukraine baru saja bermula dan tidak akan berhenti selagi seluruh negara itu ditawan. - REUTERS
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... -terus-bedil-donbas
|
|