Ekonomi kedua terbesar dunia itu sebelum ini berjaya mengawal situasi akibat kesan lonjakan global dalam harga makanan yang disebabkan perang Russia-Ukraine.
Namun, kestabilan itu akhirnya goyah hanya disebabkan oleh kenaikan harga daging babi yang merupakan makanan ruji di negara ini.
Pada Jun lalu, indeks harga pengguna (CPI) meningkat 2.5 peratus, namun susut 0.2 peratus dari Mei disebabkan penurunan harga dalam kebanyakan barang makanan kecuali daging babi.
“Harga sayuran segar, telur, buah-buahan dan makanan laut turun disebabkan faktor peningkatan bekalan dan logistik.
“Namun, harga daging babi terus meningkat sebanyak 2.9 peratus,” menurut pegawai Biro Perangkaan Negara, Dong Lijuan dalam kenyataan.
Bimbang situasi itu membebankan rakyat, pihak berkuasa China mempertimbangkan untuk menggunakan rizab daging babi dalam usaha mengekang kenaikan kos berterusan.
Kerajaan China menyimpan bekalan daging babi beku di dalam gudang dan hanya mengeluarkannya bagi menstabilkan harga dalam pasaran, terutamanya pada musim perayaan.
Harga daging babi di negara ini menjadi semakin tidak menentu selepas penularan wabak selsema babi yang menyebabkan inflasi pengguna melonjak.
Sementara itu, harga bahan api seperti minyak tanah juga meningkat 33.4 peratus berikutan perang di Ukraine. –
AFP