|
Penunjuk perasaan berenang di dalam kolam renang di pekarangan Istana Presiden di Colombo, semalam. – AFP
Presiden, PM Sri Lanka umum letak jawatan selepas rumah diserbu, dibakar
COLOMBO – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengumumkan akan meletak jawatan selepas penunjuk perasaan bertindak menyerbu kediaman rasminya di Colombo di samping membakar rumah Perdana Menteri, lapor Badan Penyiaran British (BBC).
Ketika kekecohan itu, kedua-dua pemimpin tersebut tidak berada di kediaman mereka. Penunjuk perasaan mendesak Gotabaya untuk meletak jawatan selepas melaksanakan protes selama berbulan-bulan bagi membantah kegagalan pentadbiran beliau dalam menguruskan ekonomi negara.
Susulan itu, Gotabaya menyatakan akan meletak jawatan pada 13 Julai ini. Selain beliau, Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe turut bersetuju untuk melepaskan kedudukannya.
Speaker Parlimen Sri Lanka berkata, Gotabaya bersetuju untuk meletak jawatan bagi memastikan peralihan kuasa yang aman serta meminta rakyat agar menghormati undang-undang.
Pengumuman tersebut disambut oleh letupan bunga api di ibu kota Colombo sebagai tanda meraikan pengunduran Gotabaya.
“Kini tiba masanya untuk menyingkirkan presiden dan perdana menteri bagi kepentingan era baharu Sri Lanka,” kata seorang penunjuk perasaan, Fiona Sirmana.
Dalam kekecohan yang berlaku semalam, orang ramai menyerbu kediaman rasmi Gotabaya, melaung slogan dan mengibar bendera negara Sri Lanka sebelum merempuh pagar sekatan dan menceroboh hartanah tersebut.
Ada antara mereka yang masuk ke dalam kolam renang, berkeliaran di dalam rumah, menyelongkar barangan rumah dan laci serta menggunakan bilik air mewah milik pemimpin berkenaan. – Agensi
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/07 ... ah-diserbu-dibakar/
|
|