Malah, Rosman sengaja meletakkan kenderaan milik arwah di hadapan gerainya di Permas Jaya, di sini beberapa hari selepas kejadian.
Perkara itu secara tidak langsung mengubat kerinduan terhadap anak ketiga berserta cucunya, Hans Mohd. Thakif yang sudah tiada selepas menjadi mangsa bunuh di
Kampung Bakar Batu, dekat sini, baru-baru ini.
“Memang saya sengaja letakkan kereta arwah di hadapan gerai. Ini kerana sejak arwah menggunakan kereta itu kira-kira lima tahun lalu, dia memang meletakkan kenderaannya di kawasan tersebut sama ada ketika datang untuk memasak atau menguruskan kedai atau menghantar kuih-muih.
“Jadi, apabila saya meletakkan kereta arwah di hadapan kedai, sesekali ketika terlihat kelibat kenderaan itu terasa seperti arwah masih ada di kedai ini. Membantu saya dan ahli keluarga yang lain seperti kebiasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Apabila kerinduan terhadap arwah anak dan cucunya itu semakin mendalam, dia duduk di dalam kereta itu berseorangan dan mengimbau kenangan manis yang dinikmati mereka.
“Beberapa hari selepas kejadian, semasa saya letakkan kereta di depan kedai, pada malam tersebut saya tidur di tempat duduk pemandu di dalam kereta, jika tanya mengapa berbuat demikian hanyalah kerana perasaan rindu.
“Ini kerana apabila melihat kereta ini, saya akan teringat pada arwah yang memandunya ke gerai setiap hari, selepas dia melahirkan anaknya, cucu saya itu dibawa di kerusi penumpang hadapan, memang saya teringat.
“Antara kenangan beberapa hari selepas arwah habis pantang, dia mengadu anaknya itu seperti kurang senyum, namun apabila dia dibawa ke kedai, Hans Mohd. Thakif tersenyum dan ketawa,” katanya.
Sebagai seorang bapa, sudah tentu dia sangat menyayangi kesemua enam anaknya, namun ada sesuatu kelainan pada arwah yang membezakan antara mereka.
“Saya mempunyai lima anak perempuan dan seorang anak lelaki, sudah tentu saya sayangkan semuanya. Cuma arwah ini saya gelarkan dia sebagai ‘perempuan Melayu terakhir’ kerana lebih lemah lembut dan pendiam berbanding adik beradik yang lain lebih berdikari,” katanya.
Dalam kejadian 4 Julai lalu, Hajar Nursyahirin dan bayi lelakinya, Hans Mohd. Thakif ditemukan maut di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari dengan kesan kelar di bahagian leher. –
UTUSAN