KUALA TERENGGANU: Seorang pemancing terkejut apabila menemukan bangkai 11 ekor lembu di tapak pembuangan sampah haram di tepi sungai di Kampung Sungai Lekar di sini, Sabtu lalu.
Lembu itu dipercayai mati di tempat lain sebelum dibuang di kawasan tersebut.
Wan Mohd. Faizul Wan Jaafar, 35, dari Kampung Sungai Ikan di sini berkata, dia terkejut apabila menemukan bangkai lembu bergelimpangan ketika ingin memancing di sungai berdekatan tapak pembuangan sampah haram itu pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.
Menurutnya, bangkai lembu tersebut sudah berbau busuk dan berulat, dipercayai mati dan dibuang di kawasan itu beberapa hari lalu.
“Saya berkunjung lagi ke sungai itu hari ini dan mendapati bangkai lembu masih berada di kawasan tersebut,” katanya di sini semalam.
Wan Mohd. Faizul berkata, dia kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab individu tertentu membuang bangkai lembu tersebut sehingga menjejaskan kawasan tumpuan pemancing itu.
“Bangkai lembu itu semakin berbau busuk dan keadaan tersebut menimbulkan suasana tidak selesa pemancing di sungai berkenaan,” jelasnya.
Selain itu menurutnya, dia mendapati lembu tersebut mempunyai tanda di telinga yang dipercayai dipasang Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Saya juga tidak menolak kemungkinan lembu tersebut dibawa masuk dari Thailand, bagaimanapun tidak diketahui punca lembu itu mati,” katanya.
Pada masa sama katanya, dia mengharapkan pihak berkuasa tempatan dapat menanam bangkai lembu tersebut untuk mengelakkan bau busuk. –
UTUSAN