TENNESSEE: Seorang wanita berasa kebas seluruh tubuhnya sehingga tidak boleh bercakap dan bergerak selepas mengutip sekeping duit kertas yang ditemukannya dalam tandas di restoran makanan segera, di sini baru-baru ini.
Lapor India Times, wanita itu, Renne Parson memaklumkan badannya berasa kebas sehingga dia perlu mendapatkan rawatan di hospital selepas mengutip duit itu yang ditemukannya atas lantai dalam tandas berkenaan.
“Saya berasa kebas seluruh badan sehinggakan tidak mampu bercakap, selain sesak nafas.
“Ketika kejadian, saya dan keluarga singgah di restoran tersebut untuk pergi ke tandas sebelum meneruskan perjalanan kami.
“Selepas masuk ke tandas, saya ternampak sekeping duit kertas di atas lantai dan tanpa memikirkan apa-apa, saya terus mengutip duit itu dan beredar ke kereta,” katanya.
Sebaik sahaja sampai di kereta, Parson mula rasa kebas dan seperti lumpuh, menyebabkan suaminya segera membawanya ke hospital.
Ketika dalam perjalanan, Parson sempat pitam sebelum sedar kembali dan menerima rawatan di hospital.
Berikutan kejadian itu, suaminya membuat laporan polis dan berdasarkan siasatan awal, duit kertas itu berkemungkinan dicemari dengan dadah sintetik jenis fentanyl.
Dadah tersebut sering digunakan sebagai ubat tahan sakit selepas pembedahan di hospital, selain dijadikan ubat tahan sakit untuk pesakit kanser.