PASIR SALAK: Rumah tokoh pejuang negara, Datuk Maharajalela di sini yang sebelum ini terbiar lebih 10 tahun tanpa diselenggara dengan baik, akhirnya berwajah baharu apabila sudah dibaik pulih.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kerja pembinaan sudah siap di bahagian luar, namun, tidak diketahui keadaan dalamnya kerana ikon warisan itu belum dibuka kepada umum.
Kerja baik pulih dilakukan selepas kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM300,000 selepas laporan mengenai keadaan rumah itu yang terbiar sehingga banyak bahagian rumah rosak teruk disiarkan akhbar ini sebelum ini.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek menyambut baik usaha baik pulih dilaksanakan kerajaan negeri yang akhirnya berjaya memulihkan keadaan rumah tokoh pejuang negara itu.
“Ini adalah bukti dan antara komitmen yang dijalankan pelbagai pihak seperti Jabatan Warisan dan Muzium serta kerajaan negeri membangunkan semula rumah ini.
“Kita melihat pembangunan ini sebagai kesedaran kepada masyarakat dan kerajaan tentang perlunya memelihara ikon nasionalisme di seluruh negara,” katanya.
Nordin berharap selepas rumah itu dibaik pulih, tidak lagi berlaku rumah itu terbiar. Katanya, pihak berkenaan perlu memastikan rumah itu dijaga sepenuhnya.
“Saya berharap rumah ini dijaga dengan cara diletakkan dalam satu jabatan atau organisasi yang tersusun, teratur kerana sebelum ini berlaku tolak menolak mengenai penyelenggaraannya.
“Ada yang kata di bawah Jabatan Warisan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di bawah bidang kuasa Kurator Muzium, sebab itu rumah ini terbiar,” katanya.
Beliau berkata, berikutan kerja baik pulih itu, ramai yang tertanya-tanya tentang status rumah itu sama ada pembinaannya sudah siap sepenuhnya atau masih dalam pembinaan. –
UTUSAN