|
GENEVA – Lapisan tebal ais meliputi sebuah genting di kawasan pergunungan Switzerland akan cair sepenuhnya dalam masa beberapa minggu lagi, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Gelombang haba yang melanda Eropah menjadi malapetaka buat Glasier Alpine yang mencair lebih pantas setelah wujud selama berabad-abad.
Genting berkenaan yang menjadi laluan antara Scex Rouge dan Tsanfleuron, berada dalam keadaan beku sejak sekurang-kurangnya dari era Empayar Rom.
Bagaimanapun, glasier yang mencair itu mula mendedahkan kawasan berbatu di lereng antara kedua-dua gunung berkenaan. Glasier itu dijangka cair sepenuhnya sebelum musim panas kali ini berakhir.
“Laluan itu akan terdedah sepenuhnya dalam beberapa minggu lagi,” kata resort ski Glacier 3000 dalam satu kenyataan.
Walaupun ketebalan ais di lokasi itu berukuran sekitar 15 meter pada 2012, tanah di bawahnya akan timbul sepenuhnya menjelang akhir September ini.
Lokasi itu berada pada ketinggian 2,800 meter dalam kawasan resort ski Glacier 3000 yang menandakan sempadan antara Vaud dan Wallis di barat Switzerland.
Pemain ski boleh meluncur dari satu glasier ke glasier yang lain, namun kini kawasan batu di laluan itu timbul dengan hanya sedikit ais yang tinggal.
Pakar glasier, Mauro Fischer yang merupakan penyelidik Universiti Bern di Switzerland berkata, kehilangan glasier di rantau itu tahun ini dianggarkan tiga kali ganda lebih luas berbanding 10 musim panas yang lalu. – Agensi
|
|