CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 239|Reply: 0

[Tempatan] Ketum era baharu dalam dunia perubatan

[Copy link]
Post time 18-8-2022 09:05 AM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
PADA 24 Ogos 2021, Thailand mencatat sejarah tersendiri apabila mengeluarkan ketum yang sekian lama digunakan sebagai ubat herba daripada senarai dadah berbahaya, sekali gus membolehkannya diguna secara terbuka.

Ketum atau nama saintifiknya, Mitragyna speciosa ialah spesies pokok kopi yang sudah berkurun lamanya digunakan di Asia Tenggara dan Papua New Guinea kerana mampu mengurangkan kesakitan dengan sedikit kesan mengkhayalkan.

Ia kini semakin popular di Amerika Syarikat (AS), namun Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memberi amaran mengenai penggunaannya kerana risiko menyebabkan ketagihan dan salah guna.

Pun begitu di Malaysia, ketum masih diletakkan di bawah Akta Racun 1952 meskipun kemampuan tumbuhan itu sebagai sumber alternatif bagi tujuan perubatan sering diperkatakan.

Ketum merangsang reseptor otak, sama seperti morfin tetapi kesannya lebih ringan dan di Thailand, ia banyak digunakan di bahagian selatan terutama dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai buruh kasar.

Pemerhati Hak Asasi Manusia, Phil Robertson berkata, tindakan ‘menghalalkan’ ketum dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea disambut baik. Ia sudah lama ditunggu.

Oleh sebab banyak faedah dan kelebihan bakal diraih dengan aktiviti penanaman ketum, kerajaan Kedah berharap agar kerajaan Persekutuan membenarkan negeri itu menjadi pengeksport daun ketum yang sah ke negara Thailand terutama bagi tujuan perubatan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebenaran itu akan memberi manfaat kepada banyak pihak terutama kerajaan melalui kutipan cukai hasil aktiviti mengeksport daun ketum.

Menurutnya, kualiti tanah di Kedah adalah yang terbaik terutama bagi proses pertumbuhan dan pembesaran spesies daun ketum khusus bagi tujuan perubatan yang diusahakan di Thailand ketika ini. Tambahnya lagi, industri itu sedang giat dibangunkan oleh banyak negara luar.

Difahamkan lebih 40 negara telah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri itu mencecah RM60 bilion.

Susulan itu, Kaukus Medical Cannabis telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu-isu dasar berkaitan industri hemp dan ganja untuk tujuan perubatan serta ketum bagi kegunaan di Malaysia.

Kaukus Medical Cannabis adalah jalinan kerjasama dwipartisan antara ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dipengerusikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semasa pertemuan itu, Perdana Menteri telah memberi respons positif terhadap isu-isu dibangkitkan dan akan diperhalusi pada mesyuarat kabinet.

Permulaan amat baik apabila Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum telah ditubuhkan bagi melihat bukti terkini penggunaan ketum serta kanabis terutama untuk tujuan perubatan.

Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan pakar sama ada ketum atau kanabis boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan tertentu khususnya perubatan.

Menurutnya, sebelum ini beliau memberi bayangan terdapat kemungkinan besar kementerian akan mengeluarkan rangka kerja bagi pendaftaran produk berkaitan cannabidiol (CBD) menjelang akhir 2022.

Jelasnya lagi, rang undang-undang itu antara lain bertujuan memberi fleksibiliti dalam pengendalian racun dengan membenarkan penggunaan dokumen berbentuk elektronik dan meningkatkan beberapa penalti dalam Akta 366 berhubung penggunaan racun dan bahan psikotropik.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula berharap masyarakat jangan salah faham kerana usaha meluluskan ketum bukan untuk diminum tetapi dijual kerana ketum dan hemp mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beberapa akta dan prosedur perlu dipinda jika kerajaan membenarkan penanaman ketum serta hem di negara ini.

Beliau berkata, antara pindaan itu melibatkan Akta Racun Negara 1952 kerana ketum mengandungi bahan psikoaktif yang boleh menyebabkan leka dan lalai serta Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Apa pun, usaha bagi menghalalkan ketum dalam industri perubatan negara dilihat bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi penduduk, malah ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana mudah ditanam dan sesuai dengan iklim Malaysia.

https://www.sinarharian.com.my/article/216964/suara-sinar/analisis-sinar/ketum-era-baharu-dalam-dunia-perubatan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-11-2024 04:53 AM GMT+8 , Processed in 0.105153 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list