LONDON: Fasa gelombang haba di
United Kingdom (UK) baru sahaja berakhir, namun negara itu sekali lagi dilanda bencana alam apabila kini dibadai ribut yang membawa hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir di beberapa kawasan.
Namun, pakar kaji cuaca menjangkakan, hujan lebat yang melanda ketika ini masih belum mampu memulihkan sebahagian kawasan yang diisytihar kemarau, malah mungkin mengambil masa selama beberapa minggu untuk kembali seperti biasa.
Agensi kaji cuaca meramalkan ribut petir akan berlaku di bahagian utara UK, selain hujan lebat yang turun menyebabkan banjir kilat. Keadaan itu boleh menyebabkan bekalan elektrik terputus, selain menjejaskan aliran trafik di kebanyakan jalan utama.
Kelmarin, Inverness di Scotland dilanda hujan lebat sehingga menyebabkan banjir berlaku di pasar raya Tesco, menyaksikan orang ramai panik. Beberapa video yang dikongsikan menunjukkan orang ramai dipindahkan segera selepas bumbung pasar raya itu bocor dan pecah serta dimasuki hujan.
Dalam pada itu, Agensi Alam Sekitar UK memberi amaran bahawa keadaan kering dengan bekalan air yang terhad boleh berlarutan sehingga 2023 sekirangan purata hujan menurun sepanjang musim luruh dan sejuk akan datang.
Selain itu, kerajaan turut mengambil pendekatan dengan mempertimbangkan sejumlah pelan bagi mengelakkan negara ini berdepan dengan musim kemarau tidak terkawal pada masa akan datang.
Antara pendekatan yang diambil termasuk pengurusan sumber air yang berterusan sebagai persediaan jika berlaku gelombang haba sekali lagi.