PETALING JAYA: Hasrat kerajaan untuk membina litar lumba di setiap negeri bermula tahun depan mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam dunia permotoran di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketika ini, pelbagai program pencarian bakat baharu industri permotoran sudah tersedia, namun, ia dijangka lebih meriah jika terdapat lebih banyak litar lumba di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pelumba motosikal profesional negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, pembangunan sukan permotoran akan lebih pesat menerusi cadangan pembinaan litar di seluruh negara.
Katanya, berita gembira itu sudah lama ditunggu-tunggu peminat sukan permotoran kerana sebelum ini, litar lumba amat terhad sekali gus merencatkan segala perancangan untuk memajukan sukan itu.
“Saya sambut baik apa yang Perdana Menteri umumkan (pembinaan litar lumba) dan berharap ia dapat direalisasikan. Apa yang penting, kerajaan kena fikirkan jalan untuk tunaikan. Tidak perlu kawasan luas. Cukup sekadar litar yang terbaik dan tempat beriadah peminat sukan ini.
“Jika boleh, litar yang dibina biarlah disediakan sekali kemudahan untuk semua. Maknanya semua orang boleh guna, barulah litar itu ‘hidup’ dengan pelbagai aktiviti dan penggunaannya dapat dikongsi,” katanya.
Beliau mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu membina litar lumba di setiap negeri bermula tahun depan.
Ismail Sabri berkata, cadangan bagi memperkasa program pembangunan sukan permotoran itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023.
Pembinaan litar tersebut sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap aktiviti permotoran dalam kalangan penunggang motosikal, seterusnya mengurangkan kegiatan yang tidak sihat di jalan raya. –
UTUSAN