View: 561|Reply: 0
|
Damok buru podium JuniorGP
[Copy link]
|
|
SYARIFUDDIN (tengah) berpeluang untuk menamatkan kempen JuniorGP musim ini di kedudukan kedua keseluruhan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Kuala Lumpur: Penamat ke-16 yang diraih pada Grand Prix Motosikal Malaysia semalam menerusi tiket wild card meningkatkan lagi semangat pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman untuk memburu penamat paling terbaik pada pusingan terakhir Kejohanan Dunia JuniorGP di Valencia, 30 Oktober ini.
Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, ketika ini menduduki tempat keempat dengan mengumpul 110 mata dalam kelas Moto3 menjelang baki dua lagi perlumbaan di Valencia.
Dia masih berpeluang untuk menamatkan kempen JuniorGP musim ini di kedudukan kedua keseluruhan apabila berada di belakang David Salvador (Laglisse Akademi) yang meraih 128 mata dan Filippo Farioli (Aspar Junior Team) pula ketiga dengan 113 mata.
Pelumba Sepanyol, Jose Antonio Rueda dari pasukan Estrella Galicia sudah dinobatkan selaku juara keseluruhan apabila mengumpul 214 mata.
"Untuk perlumbaan JuniorGP, saya sememangnya mahu mengekalkan momentum yang baik diperoleh ketika beraksi di Sepang.
"Sudah tentu saya mahu menaiki podium pada dua perlumbaan terakhir di Valencia untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan," katanya yang pada satu ketika pernah menduduki tangga kedua keseluruhan di JuniorGP.
Damok sebelum ini diumumkan akan beraksi pada musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia bersama pasukan MT Helmets MSi dalam kelas Moto3 pada tahun depan.
Mengulas mengenai persiapannya untuk kempen musim penuh itu, Damok mengakui perlu meningkatkan keupayaan dari sudut fizikal.
"Saya perlu tingkatkan lagi aspek fizikal untuk bersaing dengan pelumba-pelumba lain. Apapun saya rasa jentera yang bakal saya tunggang pada tahun depan itu adalah lebih kompetitif iaitu lebih baik lagi untuk saya berada di kelompok depan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... uru-podium-juniorgp |
|
|
|
|
|
|
| |
|