BATU KAWAN: Pakej menunaikan umrah menanti ahli kumpulan 'Suami Masak Apa Hari Ini' (SMAHI) yang bertuah dalam siri perjumpaan di perkarangan Stadium Batu Kawan, di sini, hari ini.
Ia adalah salah satu acara kemuncak bagi menghargai ahli SMAHI dari seluruh negara yang mengambil bahagian untuk berkumpul dalam perjumpaan berkenaan.
Pengasas kumpulan itu, Mohd Salleh Ab Hamid berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang 12 jam berlangsungnya program perjumpaan membabitkan lebih 3,000 ahli terbabit.

Antara ahli Kumpulan SMAHI ketika mengadakan perjumpaan di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Menurutnya, selain aktiviti suami dan lelaki bujang masak secara bergotong-royong, terdapat juga pengisian berbentuk keagaamaan serta kerohanian diselitkan.
"Ini adalah perjumpaan secara fizikal buat kali kedua selepas diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya pada sambutan Aidilfitri yang lalu.
"Syukur, ia mendapat sambutan amat memberangsangkan apabila bukan sahaja ahli dari Utara berkunjung, tetapi juga dari Selatan, Pantai Timur termasuk Sabah dan Sarawak, malah ada yang sanggup menunggang motosikal dari jauh semata-mata untuk program ini.
"Acara kemuncak perjumpaan ini adalah pakej menunaikan umrah yang menjadi hadiah utama dalam program cabutan bertuah," katanya ketika ditemui, di sini.

Antara ahli Kumpulan SMAHI ketika mengadakan perjumpaan di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Majlis perjumpaan ahli SMAHI itu dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Katanya, semua menu masakan yang terdapat dalam perjumpaan itu disediakan suami dan bakal suami, selain mendapat beberapa tajaan.
"Gulai daging batang pisang antara menu yang disediakan, memandangkan ia adalah masakan paling popular di utara khususnya ketika kenduri kahwin," katanya.
Platform SMAHI yang ditubuhkan pada 16 April 2020 kini mencatat jumlah keahlian melebihi 319,000 orang terdiri pelbagai golongan termasuk profesional dan ahli perniagaan.
Selain Malaysia, terdapat juga ahli-ahli dari United Kingdom(UK), Perancis, Singapura, Amerika Syarikat, Mesir dan Australia.