Georgetown: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang hari ini mengumumkan 13 calon yang akan mewakili PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan enam daripada mereka terdiri daripada muka baru.
Pengerusinya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, antara yang ditampilkan ialah calon tunggal wanita iaitu Naib Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Dr Mastura Mohamad yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas.
Selain itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ditempatkan di Parlimen Tasek Gelugor manakala calon termuda PN negeri iaitu Exco Armada Bersatu nasional, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid, 30, akan berentap di Parlimen Balik Pulau.
"Senarai nama yang diumumkan hari ini semuanya kekal sama seperti dikeluarkan pada peringkat pusat dengan masing-masing sebanyak lima kerusi diagihkan kepada Bersatu dan Gerakan manakala Pas mendapat tiga kerusi.
"Sama ada kita boleh menang atau tidak bergantung kepada anak Pulau Pinang meskipun negeri ini kubu kuat (Pakatan Harapan) namun kita akan bertungkus-lumus bagi menubuhkan kerajaan yang bersih dan stabil," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Wan Saiful berpandangan tindakan memindahkan pemimpin tertinggi untuk bertanding di mana-mana kerusi bagi mengukuhkan pengaruh parti di kawasan itu adalah strategi biasa yang turut digunakan banyak parti lain ketika ini.
"Saya sedar ini amanah besar mempertahankan kerusi penyandang tapi ini strategi biasa digunakan banyak parti kerana hari ini kita lihat parti memindahkan pemimpin atasan mereka di kawasan strategik jadi ini sebahagian proses itu dan bukan perkara baru," katanya.
Dalam pada itu, Mastura, 33, menyifatkan pencalonannya buat kali kedua di Parlimen Kepala Batas sebagai penghormatan bukan saja kepada wanita bahkan untuk mewakili suara orang muda di negeri ini.
"Alhamdulillah saya rasa bangga dipilih tapi bukan bermaksud ramai-ramai pemimpin dan ahli wanita yang lain tiada yang terbaik dan saya akan memfokuskan 'tagline' Kepala Batas Rakyat Punya," kata graduan Universiti Sains Malaysia itu.