Georgetown: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui terapung dalam keadaan tertiarap di Sungai Pinang di sini, hari ini.
Mangsa, Kang Tan Bok Ghee, 72, itu ditemui tiga pemancing di pinggir laut berhampiran Lebuh Macallum yang kemudiannya menghubungi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan, berkata pihaknya segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 10.06 pagi.
"Lelaki beralamat di Butterworth itu tinggal di sebuah rumah jagaan orang tua yang dikendalikan sebuah persatuan dan didapati hilang kira-kira jam 9 pagi semalam.
"Polis berjaya mengesan keluarga lelaki yang sudah meninggal dunia itu sebelum mereka hadir membuat pengesahan identiti mayatnya," katanya di sini hari ini.
Menurut Saravanan anak saudara lelaki itu memaklumkan bapa saudaranya tinggal di pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemukan sebarang unsur perlakuan jenayah dan mayat warga emas itu telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.