Butterworth: Pelantikan Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bukan dibuat atas dasar politik, sebaliknya bersandarkan kelulusan dan pengalaman dimilikinya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum menyertai politik, Asyraf Wajdi adalah seorang jurubank yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam perbankan Islam.
"Datuk Dr Asyraf Wajdi adalah seorang banker yang mempunyai kepakaran dalam perbankan Islam.
"Beliau bukan hanya seorang ahli politik yang itulah profesionnya (kerjaya pengurus bank) sebelum terjun ke bidang politik... maka rugilah dengan pengalaman dan kelulusan itu, beliau tidak bersama-sama saya untuk bangunkan Mara," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung kecaman yang menyatakan pelantikan Asyraf Wajdi disifatkan lantikan politik dan budaya itu masih berterusan pada era kerajaan ketika ini.
Terdahulu, Presiden Umno itu ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) hari ini.
Mengenai kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berhubung pelantikan ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Zahid berkata, ia berdasarkan garis panduan Kabinet dan mengikut nasihat Perdana Menteri.
"Jangan dilihat kerana seseorang itu memegang jawatan politik, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) umpamanya, tetapi lihat latar belakang dan juga kelulusan serta pengalaman seseorang itu, ia sesuatu yang lumrah yang dilakukan.
"Dalam hal ini, kita tidak akan melantik mana-mana individu yang tidak beri sumbangan pada organisasi diketuainya," katanya.
Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara berkuat kuasa 10 Mac lalu, menggantikan bekas Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Muhd Dun yang dilantik memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2020.