|
Bukit Mertajam: Sekumpulan warga asing yang menjadikan sebuah kondominium di Bukit Tengah, di sini untuk menganjurkan pesta liar ditahan dalam serbuan pada Khamis lalu.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, kumpulan terdiri empat lelaki warga China, seorang wanita juga warga China dan enam wanita warga Vietnam berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun ditahan untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata polis menjalankan serbuan berkenaan apabila memperoleh maklumat awam berhubung kawasan persekitaran kediaman itu yang dihuni warga asing sehingga wujud kegiatan mencurigakan.
Berikutan itu, katanya, pemeriksaan dijalankan sebelum polis berjaya membongkarkan kegiatan parti liar yang diadakan sekumpulan warga asing.
"Ketika ditahan kesemua mereka berkumpul dalam satu tempat untuk tujuan parti liar dan pemeriksaan lanjut menemui tiga bungkusan plastik berisi serbuk dipercayai dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 117 gram (g) dan satu bekas kaca berisi cecair dadah berkenaan yang sudah dibancuh.
"Turut ditemui dua plastik lutsinar dipercayai ketulan dadah jenis Ketamin seberat 2.42g yang kesemua nilai dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM6,713," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng San berkata, kondominium yang dijadikan tempat kumpulan itu berpesta adalah kediaman yang disewa salah seorang suspek wanita warga China yang ditahan dalam serbuan diadakan.
" Rata-rata suspek yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan majoriti daripada mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.
"Ada juga dalam kalangan suspek yang dipercayai telah berkahwin dengan orang tempatan atau dibawa masuk ke negara ini melalui teman lelaki yang dipercayai warga tempatan sebagai perempuan simpanan," katanya yang memaklumkan tiada sebarang tangkapan membabitkan warga tempatan berhubung kes itu setakat ini.
Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati hanya dua sahaja yang positif dadah.
"Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
"Selain daripada kes dadah, polis kini masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek memandangkan terdapat elemen lain ketika serbuan diadakan di kondominium itu apabila dipercayai wujud unsur bahawa terdapat kegiatan penipuan 'calling centre' diadakan di kediaman terbabit," katanya.
Kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San menunjukkan antara 11 warga asing berusia 18 hingga 54 tahun yang ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah kondominium di Bukit Tengah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT, Bandar Perda. FOTO DANIAL SAAD
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iar-ditahan-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|