CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3789|Reply: 0

[Kedah] Pelajar Tingkatan Lima maut, motosikal bertembung kereta dipandu guru

[Copy link]
Post time 27-3-2023 03:20 PM | Show all posts |Read mode

Halimaton Naemah Mat Isa, 37, menunjukkan gambar anak sulungnya, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Felda Sungai Tiang. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang guru wanita di Jalan Felda Sungai Tiang di Pendang, hari ini.

Dalam nahas jam 7.20 pagi tadi, mangsa, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ibu mangsa, Halimaton Naemah Mat Isa, 37, berkata anak sulung daripada lima beradik itu keluar rumah pada jam 7 pagi untuk menghantar dua adiknya berusia 10 dan 12 tahun yang mengikuti program pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

Katanya, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada seorang guru di SK Sungai Tiang memaklumkan kemalangan pada jam 8 pagi tadi.

"Saya ketika itu berada di rumah di Kampung Kubang Badak, Tobiar Pendang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama suami tetapi tak sempat tengok keadaan anak yang ketika itu sudah dihantar ke hospital.

"Ketika saya terima panggilan, badan saya menggeletar sebab terkejut kerana arwah adalah anak harapan keluarga dan dia kadang-kadang bantu hantar dua adiknya ke sekolah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Halimaton Naemah berkata, Muhammad Hasrul Hakimi sempat menghantar Noor Salihatul Nabila, 12, dan Muhammad Faiz Qayyum, 10, ke sekolah, pagi tadi sebelum kemalangan berlaku.

Katanya, Muhammad Hasrul Hakimi akan menjaga adik-adiknya apabila dia keluar menoreh getah manakala bapanya pula keluar bekerja sebagai jaga lalu lintas di kawasan kuari di Pendang.

Beliau berkata, anaknya seorang yang tak banyak cakap dan banyak menghabiskan waktu di rumah.

"Muhammad Hasrul Hakimi bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Saya reda dengan pemergian arwah anak pada hari kelima Ramadan. Segala persiapan hari raya tak buat lagi. Bila dah jadi macam ni, memang sedih tapi saya reda la," katanya.

Beliau berkata, jenazah Muhammad Hasrul Hakimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Rawa, Pendang, selepas solat Zuhur hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata kemalangan berlaku membabitkan sebuah motosikal Y15ZR yang ditunggangi pelajar terbabit dengan sebuah kereta Proton Saga.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala.

"Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal itu menghala ke SMK Sungai Tiang selepas menghantar adiknya di SK Sungai Tiang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kereta yang keluar dari simpang kiri.

"Akibat perlanggaran itu mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar pokok dan pagar Pejabat Felda Sungai Tiang," katanya.

Arriz Sham berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

https://www.bharian.com.my/berit ... kereta-dipandu-guru

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-3-2025 03:37 AM GMT+8 , Processed in 0.048639 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list