
Seramai 60 penuntut Maahad Tahfiz Al- Ahmad Darul Quran di Tingkat Sungai Gelugor, Gelugor, di sini, menerima aiskrim secara percuma dan inisiatif itu dijalankan oleh seramai 15 sahabat sempena Nuzul Al-Quran. - Foto ZUHAINY ZULKIFFLI
GEORGETOWN: Lima belas sahabat dari Kampung Dodol menceriakan 60 penuntut Maahad Tahfiz Al- Ahmad Darul Quran, Gelugor, di sini, dengan aiskrim secara percuma dan duit raya sebelum melakukan solat tarawih berjemaah.
Wakil penyumbang, Mohamad Azhar Mohd Ali, 37, berkata, inisiatif itu dilakukan mereka dari Kampung Dodol bagi memberi keceriaan kepada penuntut maahad berkenaan yang berusia antara enam hingga 20 tahun.
"Kami pilih untuk beri aiskrim kerana ketika ini cuaca agak panas sepanjang Ramadan serta memberi semangat kepada mereka dalam menjalani solat tarawih.
"Inisiatif ini adalah hasil daripada wang yang dikumpul bersama seramai 15 sahabat sempena Nuzul Al-Quran," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohamad Azhar berkata, mereka turut ke empat lagi masjid serta lima madrasah dan beberapa maahad tahfiz sekitar daerah Timur Laut bagi mengagih aiskrim berkenaan kepada jemaah yang keseluruhannya berjumlah 1,500 aiskrim.
Sementara itu Pengerusi Maahad, Syed Ahsan Shahul Hamid berkata, dia terharu dengan sumbangan itu dan memberi keceriaan kepada pelajar yang kebanyakannya daripada keluarga golongan B40, anak yatim dan asnaf.
"Ada dalam kalangan penuntut itu yang masih kecil dan sudah tiada keluarga malah tidak pernah merasai pengalaman dibelikan aiskrim," katanya ketika ditemui.
Bagi anak yatim piatu, Ridzwan Ismail, enam tahun, berkata dia sudah lama tidak makan aiskrim kerana tidak berkesempatan membelinya.
"Gembira dapat makan dengan kawan-kawan dan selepas ini kami akan bersolat tarawih pula," katanya yang kematian ibu bapa sejak setahun lalu akibat kemalangan.