ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam dua serbuan di sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, Selasa lalu.
Serbuan dilakukan membabitkan dua trak pikap yang giat membeli minyak diesel daripada satu stesen ke stesen yang lain dalam radius 50 kilometer (km) daripada sempadan Malaysia - Thailand di sini.
Penguat kuasa merampas 120 liter minyak diesel bersubsidi selain dua trak pikap Toyota Hilux dan Chevrolet Colorado daripada suspek.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya itu adalah hasil risikan sejak beberapa hari sebelum itu.
Beliau berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 9 pagi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) Sempadan Bukit Kayu Hitam, hasil kerjasama bersama agensi penguatkuasaan daripada Jabatan Imigresen.
"Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap dua kenderaan itu mendapati, jumlah isi padu minyak diesel dalam tangki kedua-dua kenderaan itu melebihi 20 liter.
"Dua individu lelaki warganegara Thailand yang memandu kedua-dua kenderaan terbabit mengesahkan minyak diesel itu diisi dari beberapa stesen minyak di sekitar Daerah Kubang Pasu, seperti mana maklumat awal yang diperolehi daripada pasukan risikan yang mengekori kenderaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM76,584 dan kedua-dua lelaki warganegara Thailand itu turut ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.