Tasek Gelugor: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Jarak Atas di sini, hari ini.
Jemaah turut mendengar khutbah bertajuk 'Pecutan Akhir Ramadan' yang disampaikan Imam kedua masjid itu, Ustaz Tarmizi Ramli.
Selepas menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Ustaz Sufi Mat Salleh, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat untuk program seterusnya sempena lawatan sehari beliau di Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Jarak Atas Halmi Othman berkata, beliau dan penduduk setempat teruja menyambut ketibaan Perdana Menteri yang julung kali menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Beliau sempat menyerahkan surat permohonan peruntukan khas kepada Perdana Menteri dan berharap kerajaan dapat membantu meluluskan permintaan bagi menampung pembiayaan kerja-kerja menaik taraf masjid yang beroperasi sejak 1992 berkenaan.
"Kapasiti dalam masjid ketika ini ialah kira-kira 500 orang dan jika jemaah terlalu ramai, terutamanya ketika ada majlis tertentu dan sewaktu solat hari raya, jemaah akan melimpah keluar sehingga perkarangan masjid.
"Masjid ini juga adalah bangunan asal dan baru diubahsuai kira-kira 20 peratus selain kariah di sini juga belum mempunyai kawasan tanah kubur dan ketika ini menumpang tanah perkuburan kariah Masjid Padang Menora yang terletak berdekatan," katanya.
Disiarkan pada: April 14, 2023
@ 3:35pm