
Anwar pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di UiTM, Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh, hari ini. - Foto NSTP/MIKAIL ONG
BUKIT MERTAJAM: Kerajaan meluluskan pinjaman RM200 juta, bagi membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh, dekat sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dana itu bertujuan meningkatkan pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera melalui pemilikan hartanah.
Katanya, pembangunan tanah wakaf itu akan dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang kini di bawah pimpinan Pengerusi, Tan Sri Khalid Ramli.
"Di Pulau Pinang ada tanah wakaf yang berusia puluhan dan ratusan tahun tetapi terbiar, tidak dibangunkan atau tidak digunakan ikut saluran yang betul.
"Ada sesetengahnya terletak di kawasan yang strategik. Jadi, kita boleh bangunkan untuk kepentingan masyarakat Melayu di Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang pertama, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar tahfiz di Pulau Pinang mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).
Jelasnya, beliau berharap dana itu dapat digunakan oleh pusat maahad tahfiz untuk merangka program serta menjalin kerjasama dengan pihak industri dan swasta.
"Dalam perbincangan dengan pengusaha dan pengurus sekolah tahfiz, mereka menyatakan ada keperluan untuk pelajar tahfiz di pusat maahad diberi peluang dan pendedahan dalam bidang lain.
"Jika tidak, peluang pekerjaan akan terbantut. Maka kita setuju selain menghafal al-Quran, mereka juga akan diberikan latihan TVET," katanya.