
Jambatan Pulau Pinang hampir tidak kelihatan akibat jerebu dirakamkan di Batu Uban di sini, dengan Seberang Jaya mencatat indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat sejak 9 malam Ahad (16 April). - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan tidak sihat di Stesen Seberang Jaya pagi semalam dipercayai ekoran cuaca dan peningkatan titik panas di negara jiran yang menyebabkan berlakunya jerebu merentasi sempadan.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri memaklumkan bahawa siasatan dijalankan sejurus mendapati berlaku peningkatan bacaan IPU.
Bacaan IPU menunjukkan peningkatan bermula jam 5 petang, Ahad lalu hingga jam 10 pagi, kelmarin.
"Hasil siasatan pihak JAS melalui rondaan darat dan pemantauan udara menggunakan dron di sekitar kawasan Sungai Dua, Permatang Pasir, Permatang Pauh dan kawasan perindustrian mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan.
"Pemantauan diteruskan di Kawasan Perindustrian Perai, Bukit Tengah, Bukit Minyak dan Permatang Tinggi yang turut tidak menjumpai sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
"Keadaan persekitaran kawasan perindustrian didapati agak berjerebu namun ia mungkin disebabkan cuaca panas yang melanda negara serta peningkatan titik panas di negara jiran yang menyebabkan berlaku jerebu merentasi sempadan," katanya.
Menurutnya, Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) Jabatan Meteorologi juga melaporkan beberapa stesen menunjukkan bilangan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari sekali gus meningkatkan paras bacaan IPU.
Laman web JAS semalam merekodkan IPU tidak sihat dengan bacaan 151 di Seberang Jaya hingga jam 10 pagi.
Sehingga jam 12 tengah hari semalam, bacaan IPU yang direkodkan di stesen sama adalah 138 menunjukkan kualiti udara tidak sihat.