Kepala Batas: Penghujung Ramadan dijadikan kesempatan bagi kebanyakan masjid mengadakan majlis berbuka puasa bersama kariah bagi mengeratkan silaturahim.
Tidak terkecuali Masjid Jamek Permatang Tok Gelam di sini yang meraikan 1,200 kariah melalui kenduri nasi talam dengan menyembelih dua lembu dan menyediakan 200 ayam bakar dari Baling, Kedah sempena malam 27 Ramadan, Isnin lalu.
Pengerusi masjid berkenaan, Ismail Daud, 64, berkata kenduri kariah adalah acara tradisi yang dilakukan masjid berkenaan sejak zaman turun temurun.
Katanya, jika dahulu kenduri dilakukan dengan mendapat sumbangan beras dari anak kariah namun kini sudah berubah apabila ramai yang mendermakan wang ringgit.
"Untuk kenduri kali ini, tiada satu dana pun dikeluarkan pihak masjid sebaliknya 100 peratus adalah sumbangan ahli kariah.
"Lebih menarik, yang menjayakan kenduri kali ini adalah ahli kariah terdiri daripada anak muda yang bertungkus lumus bergotong royong menyediakan masakan dan menghidangkan juadah menggunakan talam serta memastikan program berjalan lancar hingga selesai.
"Ada juga yang merantau sanggup pulang semata-mata tidak mahu ketinggalan menyertai tradisi ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jelasnya, sebanyak 400 talam nasi daging dihidangkan pada majlis berkenaan termasuk dengan menu sampingan lain seperti ayam bakar, kuih muih dan air balang.
"Nasi daging itu juga adalah resipi nenek moyang yang rasanya masih sama sehingga hari ini. Walaupun hanya daging rebus, dalca dan air asam tetapi itulah yang ditunggu-tunggu kariah.
"Ditambah pula, kali ini paling menarik dengan ada yang bancuh air balang pelbagai jenis termasuk yang bawa kuih muih menjadikan kenduri kali ini seperti kenduri kahwin pula.
"Inilah yang paling menyeronokkan dan menjadi kenangan berharga untuk ahli kariah yang kita akan teruskan lagi tradisi ini pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Ismail berkata, kemeriahan lebih terasa selepas dua tahun kenduri itu tidak dapat diadakan ekoran pandemik Covid-19 manakala tahun lalu pula hanya diadakan secara sederhana.
"Tahun ini, ahli kariah begitu 'all out' (sehabis baik) apabila mereka betul-betul mahu jayakan aktiviti ini seperti tahun sebelum Covid-19.
"Syukur ia berjaya dilaksanakan dengan muafakat yang ditunjukkan oleh semua anak kariah terutama sekali yang terdiri dari orang muda.
"Jika tidak ada mereka yang muda ini, memang kami yang berusia tidak ada upaya nak lakukannya kerana pelbagai kekangan antaranya faktor kesihatan," katanya.