GEORGETOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) melahirkan rasa kecewa kerana usaha mereka untuk berjumpa Perdana Menteri bagi membincangkan isu Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), tidak 'dilayan'.
Pengerusinya, Ibrahim Che Ros, berkata pihaknya sudah menghantar dua surat kepada pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengadakan mesyuarat PSI, akhir tahun lalu dan menjemputnya ke majlis berbuka puasa, baru-baru ini.
"Kita menerima pengakuan untuk kedua-dua surat itu, malangnya tidak berpeluang untuk bertemu Perdana Menteri sehingga kini.
"Kami memang kecewa, dengan Perdana Menteri, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Iklim serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana gagal mempertahankan hak nelayan.
"Malah, (Datuk Seri) Anwar pernah datang ke Sungai Batu sebelum ini ketika beliau baru menjadi Presiden PKR, berjumpa dengan nelayan di sana dan berjanji untuk membantu mereka.
"Beliau adalah Perdana Menteri sekarang, apa yang menghalang beliau?" katanya.
Pada pertemuan 13 Julai 2019 bersama penduduk dan nelayan di Permatang Damar Laut, Anwar dilaporkan berkata, beliau akan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, untuk membincangkan dan mendengar penjelasan lebih terperinci mengenai tebus guna tanah untuk projek tebus guna mega, yang ketika itu dikenali sebagai projek Penang South Reclamation (PSR).
Beliau berkata, akan bertemu pemimpin tertinggi negeri bagi mencari penyelesaian kemelut yang dihadapi nelayan tradisional di selatan Pulau Pinang.
"Saya akan bertanya kepada kerajaan negeri sama ada kita boleh menjamin nasib dan kepentingan nelayan.
"Saya tahu ini sukar kerana saya tidak pernah tahu dalam mana-mana projek tebus guna tanah berskala besar di seluruh dunia yang nasib nelayan terjamin." katanya.
Ibrahim berkata, anak Anwar, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, juga bersuara secara terbuka menentang projek itu.
Beliau menambah, PEN Mutiara yang mewakili 6,000 nelayan tetap menolak dan akan menentang projek mega itu sehingga nafas terakhir mereka.
"Tidak mungkin untuk kami menerima projek itu, mengetahui yang ia akan menjejaskan kehidupan dan mata pencarian kami, kami akan melawan PSI sehingga nafas terakhir kami.
"Apa yang sudah jadi kepada kebanyakan suara, malah dalam kalangan pemimpin kita sekarang yang sebelum ini menentang projek itu? Kenapa sekarang senyap dan hanya memekakkan telinga? Kami amat kecewa.
"Kami akan menghantar surat rayuan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengkaji semula kelulusan yang diberikan," katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan PSI mendapat kelulusan EIA daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April lalu, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.
Beliau berkata, laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.