Kangar: Dengan keadaan cuaca panas yang melanda orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti luar rumah sekiranya tiada sebarang keperluan bagi mengelakkan daripada mengalami simptom strok haba.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kanak-kanak dan golongan dewasa yang berisiko mengalami strok haba juga disaran menjaga kesihatan mereka dengan sebaiknya.
"Setakat ini, kes membabitkan serangan strok haba di seluruh negara masih terkawal dan kementerian sentiasa memantau perkembangannya setiap hari.
"Memang kita ada dengar kes ini beberapa hari lalu yang membabitkan kanak-kanak 11 tahun dan 19 bulan namun ia masih terkawal.
"Namun begitu, kita nasihatkan orang ramai untuk elak keluar rumah sekiranya tiada keperluan," katanya selepas mengadakan lawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, hari ini.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan mengenai kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang maut dipercayai mengalami serangan strok haba di Kampung Perupok, Bachok, Kelantan pada Selasa.
Selain itu juga, satu lagi kes turut dilaporkan berlaku di Kampung Kota, Kelantan membabitkan seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang maut dipercayai akibat strok haba.
Dalam perkembangan lain, Zaliha turut mengulas mengenai perkembangan Covid-19, membabitkan saranan KKM yang menggalakkan murid mengamalkan pemakaian pelitup muka dalam usaha mengelakkannya daripada menular.
"Kita menggalakkan namun bukannya mewajibkan (pemakaian pelitup muka) supaya murid dan pelajar di sekolah dapat mengelakkan jangkitan khususnya bagi mereka yang bergejala.
"Sekiranya bergejala juga, kita minta ibu bapa untuk memantau perkembangan anak mereka dan jika sekiranya tidak perlu hadir ke sekolah setelah berjumpa doktor, maka tindakan (tidak pergi ke sekolah) itu haruslah diambil," katanya.
Mengulas mengenai lawatannya di HTF, Zaliha berkata, KKM melihat potensi bagi melaksanakan lanjutan masa operasi di Klinik Kesihatan Kangar yang dilihat mampu membantu dalam melengkapkan perkhidmatan di hospital itu serta mengurangkan kesesakan.
Terdahulu, Zaliha meluangkan masa hampir setengah jam meninjau operasi HTF dan Klinik Kesihatan Kangar dalam rangka lawatannya ke Perlis.
Sebelum itu, beliau juga turut melawat dan meninjau perkembangan pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Padang Besar.
Hadir sama sewaktu lawatan berkenaan adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ismuni Bohari.