View: 239|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Tawar khidmat halau hantu, lima bomoh 'kelentong' ditahan polis
[Copy link]
|
|

FISOL (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas daripada sindiket penipuan bomoh. FOTO Danial Saad
Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket penipuan bomoh yang memperdaya warga emas di sekitar negeri ini bagi urusan penjualan ubat dan kelengkapan sembahyang.
Taktik itu dibongkar susulan penahanan lima individu terdiri daripada empat wanita dan lelaki warga asing berusia antara 40 hingga 50 tahun pada Khamis lalu menerusi Op Gagak.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai ketika mahu keluar dari negara ini.
Katanya, siasatan awal mendapati mereka masuk ke Malaysia secara sah dan pernah beberapa kali berkunjung ke negara ini.
"Kesemua lima mangsa yang membuat laporan polis adalah terdiri daripada wanita warga emas dengan nilai kerugian keseluruhannya sebanyak hampir RM125,000.
"Berikutan penahanan itu, polis turut merampas sebanyak sembilan telefon bimbit, bagasi (lima), pelbagai barangan kemas, jam tangan (11) dan dan mata wang China Yuan berjumlah RM60, 853.45," katanya pada di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Fisol berkata, sindiket itu turut menawarkan khidmat mengubati penyakit secara bersemuka yang dilakukan berhampiran kawasan pasar awam dan di dalam kereta.
Katanya, kumpulan berkenaan bergerak pada awal pagi bagi mencari mangsa warga emas yang membeli barangan keperluan di pasar awam.
"Ahli sindiket ini akan menghampiri mangsa dan menawarkan ubat bagi merawat penyakit kronik atau khidmat menghalau hantu misalnya, sebelum memberi nombor telefon bagi urusan rawatan itu.
"Suspek turut meyakinkan mangsa supaya menyerahkan wang, barangan kemas atau berharga dalam bentuk bungkusan bagi upacara sembahyang.
"Mereka juga mendakwa akan menyerah kembali bungkusan itu kepada mangsa selepas upacara selesai," katanya lagi.
Menurut Fisol, ahli sindiket kemudian menukarkan bungkusan berkenaan dengan bungkusan yang lain serta memberitahu supaya tidak membukanya kecuali apabila sampai di rumah.
Namun, sebaik bungkusan itu dibuka di rumah, mangsa mendapati ia hanya mengandungi botol air minuman dan batu bata.
"Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) yang mana boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
"Sehubungan itu orang ramai dinasihati supaya berwaspada dan tidak sesekali menyerah harta benda kepada individu tidak dikenali," katanya.
Untuk rekod, terdapat empat kes penipuan seumpamanya dilaporkan bagi tahun 2022 dengan kerugian sebanyak RM744,610 manakala antara Januari hingga April lalu, sebanyak lima kes dilaporkan dengan modus operandi yang sama.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ntong-ditahan-polis |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|