BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan seramai 8.6 juta rakyat di seluruh negara memperoleh Sumbangan Tunai Rahmah (STR), membabitkan peruntukan sebanyak RM8 bilion.
Daripada jumlah itu, seramai 460,000 penerima dengan peruntukan RM85.8 juta adalah warga Pulau Pinang.
Anwar berkata, sumbangan itu dapat diteruskan apabila pimpinan kerajaan hari ini menjaga amanah dan tatakelola dalam pentadbiran pengurusan negara.
"Jangan ambil kesempatan sakau dan curi, jaga dana amanah ini kerana kita bertanggungjawab kepada Allah SWT.
"Ini bukan public accountability (akauntibiliti awam) untuk orang dengar bagi menang Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Persekutuan (Pilihan Raya Umum) tetapi tanggungjawab pemimpin kepada Allah.
"Jangan guna kuasa untuk memperkayakan sanak- saudara dan kemudian apabila hilang kuasa, bercakap untuk Melayu, nak selamatkan Melayu.
"Kalau betul nak selamatkan Melayu, apa yang kamu ambil berpuluh bilion bagi sedekah dekat orang Melayu esok," katanya secara lantang ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang di Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Daripada 8.6 juta penerima, seramai 460,000 orang, dengan peruntukan RM85.8 juta adalah warga Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sepanjang enam bulan mentadbir kerajaan, beliau bersama pimpinannya tidak pernah mengambil sebarang hak untuk rakyat.
"Satu kontrak, balak, satu inci tanah pun saya tidak ambil dan saya tidak izinkan mana-mana pemimpin Kerajaan Perpaduan ambil dan ini adalah rekod dalam sejarah kita.
"Jadi, mengapa nak gunakan isu yang dibangkitkan kita dikawal oleh bukan Melayu khususnya DAP sehingga kita menidakkan kepentingan orang Melayu.
"Peruntukan program Islam untuk maahad tahfiz dan sekolah agama, kita tambah. Kerajaan dulu yang disertai BERSATU dan PAS pun tak bagi dana sebanyak mana kita Kerajaan Perpaduan bagi," katanya.
Tegasnya, kerajaan meluluskan peruntukan RM1.5 bilion untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala sekolah agama pula membabitkan peruntukan RM160 juta.
"Tetapi, apa yang dihebahkan ialah kita bagi peruntukan untuk sekolah Cina RM15.7 juta, sedangkan tahun dulu dan sebelumnya (sebelum jadi kerajaan) ia sudah diluluskan.
"Namun, baru hari ini nak kata kita menjadi alat Cina. Ketika PAS jadi kerajaan pun diluluskan jumlah sama. Demikian fitnah yang dilemparkan dalam politik.
"Bagaimanapun, kita ambil sikap terbuka untuk mempertahankan dasar walaupun di Pulau Pinang orang Melayu bukan majoriti. Dasar, tidak pernah kita gugat dan rombak," katanya.