BUTTERWORTH: Polis merampas enam telefon bimbit dipercayai digunakan suspek dalam dua kejadian buli di sebuah sekolah di sini, yang tular di media sosial pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata siasatan mendapati kes itu berlaku pada hari sama iaitu pada 19 Mei membabitkan dua mangsa yang dipukul beberapa murid lain di sekolah terbabit.
"Dua klip video berdurasi 24 dan 34 saat itu adalah kes berlainan dan kes pertama berlaku lebih kurang jam 1 tengahari dengan mangsa adalah murid tingkatan dua telah dipukul oleh seorang murid tingkatan tiga.
"Dalam kejadian kedua, mangsa murid tingkatan satu telah dipukul sembilan murid senior kira-kira jam 3 petang yang mana mangsa hanya mengenali seorang daripada suspek," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Asri berkata, kedua-dua mangsa dipukul di tandas lelaki sekolah terbabit menggunakan tangan dan kaki tanpa sebarang objek lain.
Menurutnya, bagi kes kedua polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 14 dan 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat sekolah sama.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak terus menularkan video kejadian buli itu kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang dan kes berikutnya disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin memaklumkan kesemua remaja yang ditahan kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan.