CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 225|Reply: 0

[Pulau Pinang] Kedai runcit, peniaga makanan di Pulau Pinang buntu terputus bekalan gula

[Copy link]
Post time 22-5-2023 04:38 PM | Show all posts |Read mode
Kedai runcit, peniaga makanan di Pulau Pinang buntu terputus bekalan gula



Zuhainy Zulkiffli
[email protected]



Tinjauan bekalan gula di kedai runcit Kampung Baru Sungai Ara di sini, dan peniaga Hazmi Abdul Razak, 30, mendakwa tidak menerima bekalan gula daripada pembekal sejak dua minggu lalu. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI




Bayan Lepas: "Sudah tiga hari kami terputus bekalan gula dan difahamkan kedai runcit lain di sekitar kawasan ini juga turut alami masalah sama," kata peniaga kedai runcit, Hazmi Abdul Razak, 30, di Kampung Baru Sungai Ara di sini, yang mendakwa bekalan gula satu kilogram (kg) sudah tidak diterima daripada pembekal sejak dua minggu lalu.

Hazmi berkata ketika ini hanya sedikit bekalan gula perang sahaja masih ada dan pelanggan terpaksa membelinya bagi menggantikan gula pasir.

"Saya mengambil bekalan gula daripada empat pembekal berbeza yang mana setiap pembekal akan menghantar sebanyak 1,200 kilogram bekalan setiap minggu.

"Namun sudah dua minggu mereka tidak menghantar bekalan dan sudah dua hari juga kami tidak menjualnya kepada pelanggan kerana kehabisan.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku (terputus bekalan) dan jika ada pun, satu atau dua pembekal masih menghantarnya tetapi kali ini kesemua pembekal hadapi masalah sama," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi peniaga air, Taha Ramli, 50, dia hanya mempunyai bekalan gula bagi kegunaan jualan selama dua hari.

"Sepanjang lebih 10 tahun saya berniaga air soya, belum pernah berlaku putus bekalan gula dan sudah tentu peniaga kecil seperti kami amat terasa tempiasnya," katanya.

Manakala peniaga dadih, Siti Nor Aishah Zainol, 40, pula berkata, dia terpaksa menghentikan jualan dadih hari ini kerana tidak dapat membeli gula sejak dua hari lalu.

"Saya sudah cari gula di lima kedai runcit selain pasaraya berhampiran dan akhirnya semalam saya buat keputusan untuk 'bercuti' menjual dadih selama beberapa hari ini.

"Pendapatan saya hanya bergantung kepada jualan dadih secara kecil-kecilan dan jika ia berterusan, saya sudah tiada sumber pendapatan lain," katanya.

Sementara itu peniaga restoran di Butterworth, Rosli Ahmad, 57, berkata sudah dua minggu dia mencari bekalan gula di premis berhampiran bagi memastikan bekalan di restorannya cukup bagi kegunaan perniagaan.

Berikutan itu, Rosli mendakwa dia sudah membeli sebanyak 50 kilogram gula dua hari lalu namun ia hanya cukup bagi kegunaan selama enam hari.

"Sudah tidak tahu di mana lagi hendak cari gula dan kini saya buntu sama ada mahu hentikan sementara operasi perniagaan atau sebaliknya jika masalah ini berterusan," katanya ketika dihubungi di sini.

Tinjauan di pasar raya besar berhampiran Bayan Baru pula mendapati rak jualan gula hampir kosong namun bekalannya kemudian diisi pekerja.

Difahamkan, orang ramai membeli dengan kuantiti yang banyak sejak dua hari lalu sehingga jualan gula di situ hampir habis.

Pembeli hanya dibenarkan membeli empat pek bagi gula pek satu kilogram dan dua pek bagi dua pek dua kilogram.




Disiarkan pada: Mei 22, 2023 @ 4:13pm












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 01:27 AM GMT+8 , Processed in 0.038636 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list