Foto Facebook Ketua Menteri
Georgetown: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendoakan Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Muhammad Hawari Hashim, 33, kembali kepangkuan keluarga dengan selamat.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow menerusi hantaran di Facebook, turut menyeru orang ramai menitipkan doa buat pendaki berkenaan.
"Semoga Muhammad Hawari Hashim kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
"Marilah sama-sama kita titipkan doa dan mengharap keajaiban supaya segala urusan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan," katanya menerusi kenyataan itu, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat bimbang dengan kesejahteraan Muhammad Hawari Hashim yang hilang selepas menakluki Gunung Everest.
"Kami memohon doa anda supaya Muhammad Hawari selamat kembali dan bersama-sama kita boleh membuat perubahan serta membawanya pulang ke tempat asal," katanya lagi.
Semalam, Kon Yeow dalam satu majlis di Bukit Tengah di sini, berkata, kerajaan negeri bersedia hulur sumbangan kepada keluarga Muhammad Hawari.
"Kita (kerajaan negeri) berdukacita dengan berita kehilangan Muhammad Hawari dan ketika ini semua pihak sedang menunggu maklumat lanjut berhubung misi pencarian mangsa.
"Sehubungan itu, kita juga bersedia menghulurkan bantuan berkaitan kepada keluarga Muhammad Hawari," katanya lagi.
Terdahulu, Muhammad Hawari yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dilapor hilang Jumaat lalu selepas berjaya menawan puncak Everest.
Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times.
Manakala seorang pendaki ME 2023 yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar, 56, meninggal dunia Jumaat lalu ketika dalam misi menawan puncak Everest.
Awang Askandar dilaporkan berhadapan masalah kesihatan selepas tidak dapat meneruskan misi menawan Everest ketika berada di paras 8,000 meter dari aras laut, meninggal dunia di kem empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Khamis.