Bayan Lepas: Pengarah syarikat bersama rakannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan perkhidmatan import dan eksport kaki ayam sejuk beku bernilai RM207,832.23.
Kedua-dua mereka ditahan di Balai Polis Bayan Lepas di sini, Rabu lalu, semasa hadir bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pengarah syarikat perkhidmatan itu berusia 60 tahun, manakala rakannya 46 tahun.
Menurutnya, mereka disyaki memperdaya mangsa yang juga lelaki berumur 45 tahun untuk terbabit import dan eksport kaki ayam sejuk beku seberat 26,400 kilogram dari Pakistan ke Hong Kong pada 2021.
"Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis berikutan mengalami kerugian sehingga RM207,832.23.
"Kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Balai Polis Bayan Lepas pada 24 Mei lalu, semasa hadir bagi membantu melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian serta membuat semakan di
https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi Semak Mule CCID untuk maklumat lanjut.