Bukit Mertajam: Bekas pramugari tidak menyangka menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir sehingga memerlukan kos rawatan sehingga RM150,000.
Kos itu bagi membolehkan dia menjalani pemindahan buah pinggang selepas suaminya sanggup mendermakan salah satu organ itu kepadanya.
Nahzatusshima Kamarudin, 48, berkata suaminya, Jessri Hazril, 47, bersedia mendermakan salah satu buah pinggang memandangkan mempunyai jenis darah sama.
Bagaimanapun katanya, bagi melalui prosedur pemindahan buah pinggang itu, ia menelan kos sehingga RM150,000 yang mereka berdua tidak mampu membiayainya.
"Saya mempunyai masalah buah pinggang sejak 12 tahun lalu dan menjalani rawatan dialisis sehingga kini namun tidak menyangka keadaan buah pinggang saya di tahap akhir.
"Penyakit yang dialami saya ini membuatkan saya terpaksa melepaskan kerjaya sebagai pramugari kerana perlu menjalani pelbagai rawatan. Kos rawatan yang perlu ditanggung saya adalah sekitar RM3,000 sebulan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan One Hope Charity and Welfare, di sini.
Menurutnya, dia yang menetap di Subang Jaya, Selangor menerima bantuan zakat kira-kira RM1,300 sebulan, selain sebahagian kos rawatan ada yang ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Saya dan suami sekarang hanya bekerja sendiri dan pendapatan kami berdua tidak menentu," katanya.
Menceritakan mengenai penyakitnya, ibu kepada dua anak itu berkata, segalanya bermula apabila dia pengsan selain muntah dan kaki bengkak sebelum diberitahu doktor mengenai kegagalan kedua-dua buah pinggang.
"Saya tidak sangka apatah lagi tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini dan semasa dapat tahu saya menangis tidak henti. Namun dua anak lelaki menjadi kekuatan saya menghadapi ujian ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau melancarkan kutipan dana bagi membolehkan wanita itu dapat menjalani pemindahan buah pinggang.
Orang awam yang ingin membantu boleh melayari laman sesawang
www.onehopecharity.org dan menghubungi talian 04-539 9212, 016-4192 192 dan 018-911 4192 untuk maklumat lanjut.