
Fahmi (tengah) menyampaikan plak Komuniti Madani kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada Majlis Pra Pelancaran Komuniti Madani di Midtown PERDA, Tasek Gelugor - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad
TASEK GELUGOR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu berhubung isu Pulau Pinang menjadi hak milik Kedah sehingga mengapi-apikan masyarakat.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang sudah termaktub dalam Perlembagaan yang mana perkara itu tiada lagi syak mengenainya.
Berikutan itu, katanya semua pihak wajib akur dengan kedudukan Pulau Pinang pada ketika ini sepertimana yang disebut dalam Perlembagaan negara.
"Saya difahamkan beberapa laporan polis telah dibuat (berhubung isu Pulau Pinang hak Kedah) dan kini serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang patut.
"Pada masa sama saya ingin menegaskan bahawa kalau kita teliti dalam Perlembagaan memang jelas disebut negeri Pulau Pinang (dalam persekutuan Malaysia) maka tidak ada syak atau was-was tentang perkara terbabit.
"Jadi selagi mana termaktub dalam Perlembagaan, semua pihak wajib akur dengan kedudukan seperti itu dan sekiranya ada mana-mana pihak ambil kesempatan (mengapi-apikan masyarakat dengan menyebarkan perkara tidak benar), pihak berkuasa akan menyiasat bagi mengekang maklumat palsu tersebar dalam kalangan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas langkah kementeriannya bagi mengekang mana-mana pihak yang menggunakan isu Pulau Pinang hak milik Kedah untuk mengapi-apikan masyarakat melalui platform media sosial.
Terdahulu, Fahmi ditemui pada Majlis Pra Pelancaran Komuniti Madani di Midtown PERDA, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis, mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.