GEORGETOWN: Rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sebagai persediaan berdepan pilihan raya negeri (PRN) akan datang sudah selesai 95 peratus, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Beliau yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang, berkata daripada peratusan penyelesaian rundingan itu, mungkin hanya ada satu kerusi 'bertindih' iaitu membabitkan kawasan yang mendapat permintaan daripada BN untuk ditandingi.
"(Terdapat pertindihan kerana) ada permintaan (kerusi) sebab di bawah prinsip penyandang itulah sebab mengapa ada pertindihan dalam tuntutan terhadap kerusi penyandang.
"Kiralah berapa kerusi daripada 95 peratus itu...mungkin hanya satu kerusi sajalah (yang belum diputuskan)," katanya pada Program Interaktif Didik Hibur di Hospital Gleneagles di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jumlah kerusi yang masih 'tergantung' dan belum mencapai kata putus dalam rundingan BN-PH Pulau Pinang.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan Loh.
Kon Yeow berkata, kedua-dua belah pihak dijadual mengatur satu lagi pertemuan di Kuala Lumpur esok bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai persediaan PRN termasuk berhubung soal pembahagian kerusi terbabit.
Beliau berkata, pihaknya percaya perjumpaan bakal berlangsung kali ketiga itu akan menjadi mesyuarat terakhir dalam rundingan pengagihan kerusi bagi PH dan BN Pulau Pinang.
"Esok jumpa di Kuala Lumpur (kita) masih meneruskan rundingan. Sekarang ini sudah dibawa pada peringkat pusat.
"Kalau tiada keputusan mungkin perlu serah kepada Majlis Presiden PH," katanya.
Ditanya kenapa sukar untuk menyelesaikan kerusi berkenaan, Kon Yeow berkata:
"Rundingan memang begitu, kalau perniagaan satu dua sen pun dikira penting," jawabnya secara berseloroh.
Sementara itu, mengulas tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, pihaknya belum mempunyai tarikh tetap, namun ia akan berlaku pada 10 hari terakhir bulan ini.
"Saya harap dapat umumkan selepas kita mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang terakhir.
"Kita akan ada dua atau tiga lagi mesyuarat (MMK) dan mesyuarat terakhir akan menentukan tarikh pembubaran itu," katanya.
Ditanya sama ada Pulau Pinang akan membiarkan tempoh penggal berakhir secara automatik pada bulan depan, Kon Yeow berkata, perkara itu tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri.
"Sebenarnya kita tidak ada masalah kerana memang sudah sampai ke akhir penggal dan seperti dijanjikan awal tahun lalu, pembubaran DUN akan berlaku pada hujung Jun ini," katanya.
Selain Pulau Pinang, lima negeri lain yang akan mengadakan PRN ialah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.