|

Wan Aslam dan isterinya, di samping Wan Muhammad Naail ketika prosedur suntikan ubat Zolgensma di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), petang semalam. FOTO ihsan Wan Aslam Zakaria
Kuala Lumpur: Bayi Wan Muhammad Naail Wan Aslam yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1, selamat menjalani prosedur suntikan ubat Zolgensma bernilai RM9.8 juta, petang, semalam.
Bapanya, Wan Aslam Zakaria, 30, berkata, sehingga kini, anak bongsu daripada tiga beradik itu masih dipantau di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Alhamdulillah semuanya selesai. Setakat ini, tiada kesan sampingan sangat.
"Keadaan Baby Naail juga macam biasa dan masih dipantau 24 jam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, tempoh keberkesanan ubat itu bergantung kepada keadaan pesakit sebelum menjalani prosedur itu.
"Jika simptom SMA itu tidak teruk semasa ambil ubat, kesannya lebih cepat mungkin dalam masa setahun akan nampak perkembangan yang baik.
"Tapi kalau simptom SMA sudah teruk sehingga pakai mesin pernafasan, ia akan mengambil masa sedikit demi sedikit, malah bertahun.
"Ada kes dua ke tiga tahun bayi sudah boleh duduk, tapi perkembangan itu Insya-Allah ada.
"Ini semua juga bergantung kepada post medication, rawatan pemulihan iaitu jika kerap menjalani fisioterapi dan ikut sistemnya, insya-Allah nampak kesan lebih cepat," katanya.
Wan Aslam berkata, mereka sekeluarga tidak putus asa dan berdoa supaya keajaiban berlaku kepada bayinya itu serta berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang banyak membantu serta memberi dorongan kepada mereka.
"Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua.
"Ubat ini dibeli dengan hasil sumbangan yang penuh dengan rasa kasih sayang orang ramai
terhadap anak kami.
"Semoga dengan asbab itu, insya-Allah Allah SWT akan menyembuhkan penyakit anak kami
seterusnya dia mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara pada masa akan datang," katanya.
Sebelum ini, kisah Baby Naail yang didiagnos penyakit jarang jumpa itu sejak usianya empat bulan mendapat perhatian hingga Misi Rakyat menggerakkan kempen kutipan dana sejak 14 April lalu.
Dana bagi pembelian ubat suntikan, Zolgensma itu berjaya diraih hasil sumbangan rakyat Malaysia selepas hampir sebulan kutipan itu dilancarkan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-prosedur-suntikan |
|