Bayan Lepas: Walaupun dilanda banjir kilat, namun majlis ibadat korban yang dijalankan di Surau An Nur Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini, tetap berlangsung lancar.
Difahamkan, ketika kejadian, banjir kilat direkodkan pada paras kira-kira 0.5 meter selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak awal pagi.
Kejadian turut tular di media sosial menerusi beberapa video yang memaparkan penduduk menarik beberapa ekor lembu dalam banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz yang turut serta pada majlis itu berkata, banjir melanda jam 8 pagi.
Katanya, banjir kilat itu hanya melanda kira-kira dua jam sebelum surut.
"Saya turut menyertai kerja penyembelihan yang membabitkan enam lembu yang dikorbankan.
"Banjir hanya melanda untuk tempoh sekrtika sebelum surut," katanya dihubungi.
Mengulas lanjut, Azrul Mahathir berkata, ia bukan kali pertama masyarakat di situ menjalani ibadat korban dalam keadaan banjir kilat.
"Kira-kira 150 penduduk hadir bagi membantu kerja penyembelihan malah turut bekerjasama mengalihkan khemah serta peralatan ke tempat tinggi," katanya.