View: 273|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
'Luth kini sudah berada di tempat terbaik' - Ibu
[Copy link]
|
|

GAMBAR kenangan Mas Hazirah bersama Luth. (Gambar kiri) Mas Hazirah melawat Sufi Syafrina. FOTO Ihsan Mas Hazirah
Kuala Lumpur: "Sebagai ibu saya sudah cuba melakukan yang terbaik untuk Luth tetapi sudah takdir bukan rezeki dia mendapatkan rawatan itu.
"Justeru saya mahu memanjangkan sumbangan yang diberikan kepada Luth untuk anak lain yang sangat memerlukan," kata Mas Hazirah Saifuddin.
Mas Hazirah, 33, adalah ibu kepada Mas Muhammad Luth Muhammad Aliff, 5, pesakit ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM) yang meninggal dunia pada 28 Jun lalu.
Wanita itu berkata, dia reda kehilangan anak kesayangannya itu dan sumbangan orang ramai untuk anak sulung daripada tiga beradik itu diberikan kepada mereka yang sangat memerlukan dana perubatan.
Menurutnya, mereka sekeluarga turut mengambil peluang menyumbangkan mesin pernafasan dan sejumlah wang untuk kegunaan Sufi Syafrina Mohd Syafiq berusia enam bulan yang juga pesakit Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1, semalam.
"Saya mewakili Luth yang kini sudah berada di tempat dan penjagaan terbaik untuk membantu anak lain yang sangat memerlukan bantuan perubatan.
"Saya pernah berada di tempat sama dengan ibu bapa yang terdesak untuk mendapat bantuan perubatan anak dan sebab itu saya memahaminya.
"Kami harap sumbangan ini akan meringankan beban keluarga dan memberi sinar kepada anaknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mereka akan membantu anak lain yang memerlukan bantuan menggunakan sumbangan yang masih ada, selain mahu menyampaikan semangat Luth kepada mereka untuk terus berjuang melawan penyakit.
"Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu dan menyumbang dana kepada Luth sebelum ini termasuk sokongan sehingga akhir hayatnya.
"Saya juga terharu ramai yang sayangkan anak syurga saya dan sehingga kini saya masih mendapat sokongan ramai di Instagram biarpun ada sebahagiannya tidak dikenali," katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Mas Muhammad Luth yang mesra di sapa Luth memerlukan bantuan dana perubatan segera di luar negara untuk merawat penyakitnya.
Akhbar ini juga sebelum ini melaporkan, Sufi Syafrina memerlukan bantuan rakyat Malaysia untuk mendapatkan ubat Genetik Zolgensma bagi rawatan penyakitnya yang mana ubat itu perlu diambil sebelum usianya mencecah dua tahun.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -tempat-terbaik-ibu |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|