|
Aaron-Wooi Yik 'cemas' sebelum mara
AARON (kanan) dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua. FOTO Badminton Photo
Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 'bermandi peluh' sebelum mengatasi pasangan bukan pilihan dari Korea Selatan, Ki Dong Ju-Kim Jaehwan di pusingan pertama Terbuka Korea, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2022, kelmarin diberi tentangan sengit oleh lawan mereka itu sebelum melakar kemenangan 21-18, 22-20 pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu.
Pasangan nombor empat dunia itu akan berdepan gandingan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Terdahulu, beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Song Hyun-Na Gwang Min dari Korea 22-20, 21-14.
Mereka dijadual bertemu rakan senegara yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang mara menerusi kemenangan ke atas pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang 10-21, 21-16, 21-16.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen 13-21, 11-21.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -cemas-sebelum-mara
|
|