View: 2627|Reply: 0
|
Porsche 911 GT3 RS dilancarkan di Malaysia
[Copy link]
|
|
Porsche 911 GT3 RS 2023 secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini di Litar Antarabangsa Sepang, bersempena perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia yang berlangsung hujung minggu ini. Versi paling hardcore untuk pemanduan litar bagi generasi 992 ini diumumkan dijual pada harga bermula RM2,630,000.
Model ini dijana oleh enjin flat-six 4.0 liter NA yang boleh ‘ditarik’ sehingga redline ditetapkam pada 9,000 rpm, menghasilkan kuasa 525 hp dan tork maksima 465 Nm. Enjin yang berada pada sebelah belakang badan tersebut diberikan sistem penyejukkan unik di mana ia diberikan radiator tunggal yang diletakkan di tengah (menggantikan sistem dengan tiga-radiator sebelum ini) seperti jentera lumba yang memenangi Le Mans iaitu Porsche 911 RSR, dan menyebabkan ruang hadapannya kini tidak boleh lagi diguna sebagai ruang storan.
Bagi memindahkan kuasa pacuan ke roda belakang, enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan dengan nisbah gear lebih pendek dari 911 GT3, serta diberikan pengalir udara khas pada bahagian bawah badan untuk menyejukkan transmisi tersebut.
Gandingan berkenaan membolehkan Porsche 911 GT3 RS ini memecut dari pegun hinga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat, dan mencapai kelajuan maksima 296 km/j!
Seperti generasi-generasi sebelumnyan, GT3 RS merupakan varian yang turut menerima kelengkapan aerodinamik paling agresif. Bagi model 992 GT3 RS ini, ia menerima spoiler belakang GT dengan tiang jenis ‘tengkuk angsa’, dan buat pertama kali ini merupakan spoiler model produksi pertama Porsche yang lebih tinggi dari bumbung.
Bukan sahaja lebih tinggi, malah spoiler ini juga menampilkan sayap yang lebih panjang dan lebih lebar dari spoiler pada 911 GT3 biasa. Sayap bahagian bawahnya adalah jenis tetap, manakala sayap pada lapisan atas pula boleh dilaras menggunakan mekanisma hidraulik.
Ini membolehkan GT3 RS baharu ini turut diberikan Drag Reduction System (DRS) ala-kereta F1 yang dipadankan buat pertama kali pada sebuah model produksi Porsche. Sistem ini akan melaras sayap berkenaan agar menjadi rata dengan hanya satu sentuhan butang, bagi megurangkan daya seretan udara dan membolehkan ia mencapai kelajuan lebih tinggi pada laluan lurus.
Sayap belakang ini juga akan berfungsi sebagai brek udara ketika dalam situasi brek kecemasan pada kelajuan tinggi, dengan menaikkan sudut yang paling tegak bagi menghasilkan rintangan udara untuk mempecepatkan nyah pecut.
Perincian aerodinamik lain yang turut dipadankan pada GT3 RS baharu ini termasuk penaglir udara aktif di belakang unit splitter udara hadapan, liang udara fender hadapan lebih besar, rekaan baharu pada pintu untuk aliran udara dari roda hadapan yang lebih baik dan rekaan baharu pada diffuser belakang.
Dengan kesemua perincian ini, Porsche 911 GT3 RS 992 ini mampu menghasilkan downforce tiga kali ganda dari model GT3 biasa serta dua kali ganda berbanding 991.2 GT3 RS terdahulu, pada kadar 409 kg pada kelajuan 200 km/j, dan mencapai 860 kg pada kelajuan 285 km/j.
Malah sistem suspensi kereta ini juga menyumbangkan aspek aerodinamik di mana komponen untuk double wishbone pada gandar hadapan direka dengan profil seperti bentuk titisan air, bagi menambah downforce sekitar 40 kg pada kelajuan maksima.
Bentuk-bentuk pengalir udara pada badan kereta bukan hanya menumpukan aspek aero, tetapi ia juga membantu penyejukkan untuk sistem-sistem unit rangkaian kuasa. Lubang pada penutup but hadapan misalnya, ia adalah untuk menyejukkan radiator yang diletakkan pada bahagian tengah, manakala sepasang sirip pada bumbung pula adalah untuk mengalirkan udara lebih sejuk kepada ambilan udara belakang.
Aspek pengurangan berat juga diambil perhatian khusus dalam pembinaan GT3 RS baharu ini. Ia menerima pintu, spoiler ‘ekor itik’ belakang, sayap belakang, bumbung, fender hadapan dan juga bonet yang diperbuat dari gentian karbon. Malah kesemua cermin tingkap pada model ini dihasilkan lebih nipis dari model biasa. Oleh itu, Porsche 911 GT3 RS 992 ini ditimbang dengan mencatatkan berat hanya 1,450 kg.
Untuk roda, GT3 RS hadir standard dengan rim forged aloi ringan ala kereta lumba yang dipasang pada hab menggunakan sistem nat tunggal. Rim berkenaan berukuran 20-inci pada bahagian hadapan dibalut dengan tayar 275/35R20, manakala untuk belakang ia berdiameter 21-inci dengan tayar 335/30R21.
Untuk brek, sistem standard diberikan adalah angkup enam omboh pada bahagian hadapan dan empat omboh di belakang. Pemilik boleh menaiktaraf sistem brek ini dengan pilihan sistem Porsche Ceramic Composite Brakes, menampilkan cakera komposit seramik 410 mm di hadapan dan 390 mm di belakang.
Pada sebelah dalam, GT3 RS ini datang standard dengan pakej Clubsport menampilkan kelengkapan perlumbaan seperti set rollcage, pemadan api, dan tali pinggang keselamatan enam-point. Ia dipadankan dengan perincian standard lain seperti tempat duduk bucket penuh binaan karbon, upholsteri kulit hitam, Racetex dan juga kemasan-kemasan tenunan karbon yang lain.
Pada roda stereng, ia dilengkapi dengan suis putar bagi menala tetapan suspensi termasuk compression, rebound dan damping, serta talaan untuk unit differential gandar belakang. Talaan ini boleh dibuat jika pemandu memilih Track Mode, iaitu salah satu mod pemanduan selain Sport dan Normal. Butang untuk mengaktifkan sistem DRS pada sayap belakang juga diletakkan pada roda stereng ini.
Porsche Malaysia turut menawarkan opsyen pakej Weissach, menampilkan perincian seperti bonet hadapan, bumbung, sebahagian sayap belakang, pemegang pintu dengan kemasan gentian karbon tanpa cat. Pakej ini juga datang dengan rollcage yang diperbuat dari gentian karbon (pertama kali ditawarkan oleh Porsche), serta bar anti-oleng hadapan dan belakang bersama rod penyambung yang kesemuanya turut diperbuat dari gentian karbon.
Tidak cukup dengan itu, pakej Weissach ini juga hadir dengan rim forged Magnesium yang 8 kg lebih ringan dari versi aloi, serta pedal penukar gear PDK dengan teknologi magnet yang lahir dari dunia sukan permotoran sebenar bagi memberikan tukaran gear dengan rasa lebih tepat.
Selain itu, pembeli turut ditawarkan dengan jam tangan kronograf 911 GT3 RS istimewa yang sepadan dengan jentera ini. Dihasilkan oleh divisi jam tangan Porsche Design yang berpusat di Solothurn, Switzerland, jam ini menampilkan elemen rekaan dan material yang sama dari GT3 RS dan digerakkan oleh enjin mekanikal Porsche Design chronograph kaliber WERK 01.200 yang diperakui oleh pensijilan COSC.
https://paultan.org/2023/08/25/p ... l-na-525-hp-465-nm/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|