|
Seorang wanita mendakwa menemukan kamera tersembunyi yang diletakkan di bahagian 'flush' di tandas sebuah stesen minyak di Danau Kota, Kuala Lumpur.
Dia menyedarinya susulan ternampak pantulan kecil pada pita pelekat berwarna hitam yang ditampal di bahagian itu.
"Saya ternampak tanda 'flush rosak' yang ditampal guna tape hitam, kemudian nak keluar la... tapi terdetik untuk tengok balik sebab nampak macam ada pantulan.
"Like a small reflection pada area tape hitam tu. Terus sentuh dan rasa macam ada benda.
"Terus cabut, tengok-tengok ada kamera... s***n tu lekat pada tempat flush jamban cangkung," ujarnya.
Apa yang dilihat itu membuatkan dia diselubungi pelbagai perasaan dan terus menggigil.
Susulan penemuan itu, dia terus memanggil suaminya dan seterusnya membuat laporan polis.
Malah katanya, laporan polis terpaksa dibuat pada tengah malam itu juga disebabkan tindakan individu yang tidak bermoral.
Pada masa sama, dia menasihati golongan wanita supaya lebih berhati-hati dan sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling terutama jika menggunakan tandas awam mahupun di stesen minyak.
Kisahnya itu dikongsikan seorang pelayar X yang turut meminta masyarakat sentiasa peka dengan persekitaran.
"Apabila dunia makin bahaya, manusia harus makin peka dengan persekitaran... pesanan khidmat masyarakat," ciapnya ringkas.
Rata-rata pengikutnya meluahkan rasa bimbang dengan situasi yang berlaku malah ada yang menyatakan perkara sama berlaku pada kaum lelaki.
"Sekarang ni nak berak dengan tenang pun tak selamat, baik lelaki ataupun perempuan... tandas mana-mana pun sama.
"Apalah yang orang macam ni sangapkan dengan imej atau video tengah berak dan kencing? Jijik betul.
"Ya Allah tak selamat dah kat hotel pun," luah beberapa warga maya lagi. -CARI
Sumber: mStar |
|