CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1671|Reply: 0

Mercedes-Benz EQS 580 4Matic 2023 di M’sia

[Copy link]
Post time 24-10-2023 11:34 AM | Show all posts |Read mode


Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan SUV EQS serba baharu, model ketiga yang dibangunkan dengan platform elektrik yang dipanggil ‘EVA2’ (Electric Vehicle Architecture) selepas EQE dan EQS. Hanya satu varian sahaja yang dibawa masuk ke Malaysia iaitu EQS 580 4MATIC 2023, walau bagaimana pun, untuk pasaran global SUV elektrik tujuh-tempat duduk ini turut menawarkan dua lagi varian di bawahnya iaitu EQS 450+ dan EQS 450 4Matic.

SUV elektrik EQS 580 4Matic 2023 di Malaysia ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM699,888 dengan cukai jualan 10% (untuk Semenanjung Malaysia) dan tanpa insurans.

Bagi EQS 580 4Matic, ia menerima larasan dwi-motor, yang mampu memberikan keseluruhan kuasa setinggi 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan tork 858 Nm. Dengan pecutan 0-100 km/j, ia mampu dicapai dalam masa 4.6 saat dengan kelajuan maksimum cecah 210 km/j. Dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 108.4 kWh, jarak gerak EV yang boleh dicapai antara 515 hingga 615 km dalam satu pengecasan penuh, mengikut kitaran WLTP. Menurut Mercedes-Benz, penggunaan elektrik untuk SUV mewah ini sekitar 24.1-20.0 kWh bagi setiap 100 km.

SUV EQS dengan 4Matic memiliki electric drive train (eATS) pada gandar hadapan dan belakang. Manakala Torque Shift pula berfungsi untuk terus mengedarkan tork pemanduan antara mesin elektrik di hadapan dan belakang.




Kesemua barisan SUV EQS dilengkapi dengan bateri lithium-ion dengan 12 modul sel yang disertakan dengan perisian pengurusan bateri inovatif, yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz, membenarkan kemaskini over the air (OTA). Bateri ini dikatakan menepati keperluan Mercedes bagi aspek keselamatan, keupayaan dan ketahanan. Malahan pengeluar kereta ini mendakwa, jangka hayat penyelenggaraan bagi bateri adalah setiap 10 tahun atau 250,000 km dengan mengekalkan kapasiti sebanyak 70%.

Bagi pengecasan bateri, ia boleh menggunakan pengecas AC 22 kW dengan status pengecasan (SoC) 0% hingga 100% mencecah lima jam 30 minit. Sekiranya menggunakan pengecas pantas DC 200 kW pula, SoC bagi 0% hingga 80% hanyalah 31 minit.

Selain memiliki prestasi kuasa yang padu, SUV EQS ini juga tampil dengan rekaan bergaya. Bahagian hadapannya menampilkan unit ‘Panel Hitam’ dengan lampu utama Digital LED dan light band yang disepadukan bersama gril radiator hitam dan paten bintang tiga-dimensi yang menyerlahkan rupanya. Ciri istimewa lain yang ditampilkan termasuklah permukaan struktur bagi pencahayaan, termasuk paten haksagon tiga-dimensi yang digabungkan dengan lampu nyalaan siang.

    

Imej luaran juga diberikan sentuhan AMG Line Exterior termasuk menampilkan garisan badan yang lebih kemas, menyerlah dan dinamik yang merentangi bahagian hujung hadapan hingga ke A-pillar menghala ke kontur bumbung dan spoiler belakang. SUV EQS ini juga didatangkan dengan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 22-inci dengan kemasan hitam berkilat.

Selain itu, ciri luaran lain yang diberikan termasuklah pemegang pintu jenis ‘flush’ dan bumbung suria panoramik yang diberikan secara standard. Untuk bahagian belakangnya, lampu LED juga diberikan dengan rekaan 3D helix seperti mana untuk wajah hadapannya, dengan bentuk melintang. Diffuser dengan elemen krom kualiti-tinggi dengan spoiler lip di bahagian bawah badan turut diberikan.

Barisan SUV EQS baharu ini juga diberikan casis yang merangkumi gandar four-link di hadapan dan suspensi multilink di belakang. Jarak kelegaaan tanah untuk SUV ini juga dipertingkatkan sehingga 25 mm. Selain itu, ia juga diberikan mod pemanduan Dynamic Select yang merangkumi Eco, Comfort, Sport dan Individual, dan menampilkan ciri OffRoad khas untuk pemanduan off-road. Ia boleh digunakan dengan atau tanpa ESP®. Ciri standard lain termasuk stereng gandar belakang dengan sudut stereng hingga 10 darjah untuk memberikan pergerakan yang lebih tangkas.

SUV EQS baharu ini berdimensi 5,125 mm panjang, 1,959 mm lebar dan tinggi 1,718 mm. Manakala jarak rodanya berkongsi dengan EQS versi sedan tetapi ditambah 20 cm menjadikannya 3,210 mm. Dengan saiz yang boleh dikatakan agak besar ini, memberikannya ruang dalaman yang luas. Barisan ketiga tempat duduknya dengan dua tempat duduk individu masih mampu memberikan keselesaan untuk penumpang.

Untuk barisan pertama tempat duduk, ruang kepala mencecah 1,035 mm, manakala 1,031 mm pada barisan kedua dan ketiga dengan 900 mm. Barisan kedua tempat duduk boleh dilaras ke hadapan dan belakang secara elektrikal hingga 130 mm secara standard. Sekaligus menghasilkan ruang lutut antara 830 mm dan 960 mm.

  

Ruang penyimpanan barangan di belakang sekitar 195 liter sekiranya tempat duduk berada dalam keadaan normal. Namun jika tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, kapasitinya mencecah 2,100 liter. Manakala ketinggian tailgate yang dibuka sekitar 1,978 mm.

Ciri kelengkapan kabin SUV EQS ternyata menjanjikan sisi kemewahan, sofistikated dan elegan. Dengan rekaan dalaman avant-garde, elemen kemasan kayuan dengan Mercedes-Benz Pattern menjalari kabinnya. Daya tarikan utama bahagian kabin SUV EQS sudah tentu dengan kehadiran MBUX Hyperscreen dengan panel paparan melengkung yang terdiri daripada tiga unit skrin untuk pemandu (12.3-inci), tengah (17.7-inci) dan untuk penumpang belakang (12.3-inci). Dengan rekaan zero-layer, MBUX Hyperscreen menawarkan operasi sentuhan intuitif dengan haptic feedback dan force feedback.

Mod paparan alternatif diberikan dengan mod “Pure EV” yang merupakan graf palang untuk memaparkan status pemanduan (Drive, Accelerate, Charge). Skrin paparan tersebut boleh ditetapkan secara individual dengan tiga gaya paparan (Discreet, Sporty, Classic) dan tiga mod (Navigation, Assistance, Service).




Seksyen hadapan untuk konsol tengah menyertai panel instrumen, menawarkan ruang terbuka antara visual ke senibina pemanduan baharu. Disebabkan ia menggunakan penjana kuasa elektrik, bahagian transmisi tidak diperlukan. Selain itu, turut diberikan corong pendingin hawa nipis dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6-inci untuk penumpang belakang.

Bahagian kabin turut dilengkapi dengan kelengkapan Electric Art termasuk upholstery tempat duduk yang mewah dalam kemasan kulit Nappa hitam/kelabu. Selain itu, pencahayaan dalaman juga diberikan termasuk bila pintu dibuka, pancaran pencahayaan tersebut akan memantulkan paten Mercedes-Benz pada lantai.

Seperti EQS versi sedan, SUV elektrik ini juga diberikan MBUX (Mercedes-Benz User Experience) generasi kedua. Dengan perisian adaptif, paparan dan konsep operasinya memudahkan pengguna untuk mengendalikannya untuk memaparkan pelbagai infotainmen, fungsi kenderaan dan banyak lagi.

Bagi hiburan, SUV EQS ini juga diberikan sistem bunyi Dolby Atmos® yang termasuk sistem bunyi sekeliling Burmester® dan 15 unit speaker. Ciri kelengkapan dalaman lain termasuk kawalan suhu automatik Thermotronic, bantuan suara Hey Mercedes, MBUX High-End Rear Seat Entertainment Plus yang merangkumi dua paparan 11.6-inci dengan butang kawalan, tablet MBUX untuk penumpang belakang, MBUX Interior Assistant dan MBUX Augmented Reality Navigation yang membolehkan pemandu mengetahui situasi trafik yang kompleks.

    

Ia juga didatangkan dengan pakej Energizing secara standard yang merangkumi Energizing Comfort, Energzing Coach dan Air-Balance Package yang menawarkan aroma yang mengharumkan.

Untuk bantuan pemanduan dan aspek keselamatan, SUV EQS didatangkan dengan Parking Package bersama kamera 360-darjah secara standard, yang disepadukan ke Bantuan Parkir di dalam MBUX, Pakej Bantuan Pemanduan, fungsi brek kecemasan dan Bantuan Parkir Aktif. Ia juga diberikan tujuh beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan, Kawalan Kelajuan Adaptif, Pemantauan Titik Buta Aktif, Pengelak Pelanggaran Hadapan dengan Amaran Trafik, Sistem Pengesan Pejalan Kaki, dan Paparan Informasi Isyarat Trafik.

Selain itu, ia juga hadir dengan Driving Assistance Package Plus yang terdiri daripada Distronic Plus, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support, PRE-SAFE® Impulse Side, dan penderia belakang utuk bantuan ketibaan lorong.

Sekali lagi, SUV elektrik EQS 580 4Matic 2023 telah pun tiba di Malaysia dan ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM699,888 dengan cukai jualan 10% (untuk Semenanjung Malaysia) dan tanpa insurans.

https://paultan.org/2023/10/20/m ... 858-nm-dari-rm700k/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-12-2024 12:24 AM GMT+8 , Processed in 0.045774 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list