View: 5964|Reply: 0
|
Mazda CX-3 pasaran Malaysia diperbaharui
[Copy link]
|
|
Pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor telah melancarkan CX-3 versi diperbaharui untuk model tahun tahun 2024, yang membawakan pilihan enjin 1.5 liter dan 2.0 liter di antara tiga varian yang ditawarkan. Ia terdiri daripada 1.5G 2WD Plus pada RM115,720; 2.0G 2WD Plus pada RM126,159; dan 2.0G 2WD High pada RM139,159; semua harga ini tidak termasuk insurans.
Sama seperti model tahun 2022, crossover segmen B pasaran Malaysia ini masih terus diimport dari Thailand, dan perubahan pada namanya menunjukkan terdapat penambahan kelengkapan dan varian CX-3 Plus kini menggantikan varian Core sebelum ini.
Semua varian CX-3 ini menggunakan enjin petrol NA, bermula dengan 1.5G 2WD Plus yang mendapat unit empat silinder 1.5 liter Skyactiv-G berkuasa 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm, manakala 2.0G 2WD Plus dan 2.0 2WD High kedua-duanya menggunakan enjin petrol 2.0 liter Skyactiv-G yang berkuasa 154 hp pada 6,000 rpm dan 206 Nm pada 2,800 rpm.
Transmisi yang digunakan pada CX-3 adalah unit automatik Skyactiv-Drive enam kelajuan, yang menghantar kuasa kepada roda belakang, dan sekarang pedal penukar gear di stereng disediakan untuk semua tiga varian. Rim untuk 1.5G Plus dan 2.0G Plus adalah unit 16 inci, dibalut tayar 215/60R16, manakala varian paling tinggi 2.0G High mendapat rim 18 inci rekaan baru bersama tayar 215/50R18.
Melalui model Plus sekarang, CX-3 mendapat lampu utama dan DRL LED, dengan varian High turut ditambah dengan lampu kabus LED. Semua varian mendapat lampu belakang LED, lampu kabus belakang jenis mentol serta lampu undur LED. Bahagian luar varian Plus turut mendapat cermin sisi boleh lipat automatik serta pengesan undur yang sebelum ini tiada pada varian Core. Varian 2.0 High paling tinggi ditambah dengan pengesan jarak hadapan serta pilihan bumbung suria (RM2,000).
Di bahagian dalam, varian 1.5G Plus dan 2.0G Plus kini mendapat sambungan Apple CarPlay tanpa wayar, menjadikan ketiga-tiga varian sama, sementara Android Auto masih menggunakan kabel. Infotainmen bagi semua tiga varian masih melalui skrin sesentuh Mazda Connect lapan inci, bersama enam pembesar suara dan dua soket pengecas USB.
Varian 1.5G Plus dan 2.0G Plus mendapat kamera undur dengan garis bantuan manakala 2.0G High mendapat kamera 360 darjah, pengecas telefon tanpa wayar, head-up display serta cermin pandang belakang malap sendiri.
Bagi model tahun 2024 ini, CX-3 mendapat pelbagai fungsi dalam kit ADAS i-Activesense, termasuk kawalan lampu tinggi, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning dan Smart City Brake Support; varian 2.0G High ditambah dengan Driver Attention Alert.
Jumlah beg udara sekarang ada enam bagi ketiga-tiga varian, naik daripada dua pada varian Core sebelum ini. Berkenaan warna, pilihan yang disediakan adalah Polymetal Grey, Machine Grey, Soul Red Crystal, Jet Black, Platinum Quartz, Snowflake White Pearl dan Aero Gray.
Sama seperti Mazda 2 2024 yang diperkenal di Malaysia, CX-3 2024 ini boleh didapati dengan penapis filem cermin Activ-E pada harga tambahan RM1,900. Semua varian dijual bersama jaminan lima tahun, 100,000 km dan pakej penyelenggaran percuma lima tahun, 100,000 km.
https://paultan.org/2023/12/05/m ... l-2-0l-dari-rm116k/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|