View: 8010|Reply: 1
|
Honda CR-V 2024 dilancar di Malaysia
[Copy link]
|
|
Honda Malaysia hari ini secara rasminya telah memperkenalkan Honda CR-V 2024 generasi keenam untuk pasaran tempatan. Empat varian ditawarkan, dengan daripadanya unit turbocas dan satu hibrid.
Empat varian berkenaan adalah seperti berikut: Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Honda CR-V 2.0L e:HEV RS pula akan mula dijual pada awal 2024 nanti, dan harganya akan diumumkan kelak. Versi dengan enjin R20 2.0L i-VTEC yang kali terakhir ditawarkan bagi varian paling asas 2WD untuk model facelift generasi kelima tidak lagi ditawarkan.
Selain itu, sempena meraikan 20 tahun pengeluaran CR-V di Malaysia, Honda Malaysia akan turut menawarkan edisi terhad CR-V varian S edisi ulangtahun berkenaan, yang terhad kepada 750 unit sahaja, pada harga RM157,900.
Bagi varian turbo, semuanya menggunakan unit sama 1.5L VTEC Turbo seperti sebelum ini. Unit L15BE DOHC turbo empat silinder berkenaan menghasilkan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm, tetapi rpm bagi kedua-dua kuasa dan tork ini tiba telah dipercepat, kesan daripada pembaharuan terhadap respon pecutan yang diperbaiki dan menjadikannya lebih senyap. Sebelum ini, kuasa maksimum tiba pada takat 5,600 rpm, sementara tork pula antara 2,000-5,000 rpm.
Enjin ini kekal digandingkan bersama Earth Dreams CVT seperti sebelum ini. Ini juga telah diberikan pembaharuan untuk mengurangkan bunyi dan gegarannya. Dari sudut prestasi, varian S memecut 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, sementara E dengan 9.8 saat dan V AWD memerlukan 10.4 saat.
Varian paling tinggi pula ialah versi hibrid dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD), sama seperti apa yang digunakan untuk Civic e:HEV RS — melibatkan sebuah motor elektrik dan enjin petrol 2.0L NA kitaran Atkison yang bertindak selaku generator.
Enjin berkenaan menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 190 Nm tork pada at 4,500 rpm — 1 Nm lebih berbanding Civic hibrid. Walaupun enjin ini boleh menyediakan pacuan terus — melalui klac kekunci — dalam kelajuan tinggi dan untuk lebih cekap, elektrik motornya yang melakukan semua kerja pacuan. Dari segi output, e-motor berkenaan menjana 184 PS (181 hp, atau 135 kW) pada 5,000 hingga 8,000 rpm dan 335 Nm dari sifar ke 2,000 rpm — 20 Nm lebih berbanding Civic hibrid.
Di Thailand, CR-V hibrid ditawarkan dalam pacuan dua roda dan juga empat roda. Tetapi untuk Malaysia, CR-V e:HEV hanya didatangkan dalam versi pacuan dua roda, dengan kuasa dihantarkan ke roda depan melalui transmisi e-CVT. Selain itu, untuk spesfikasi RS bagi model di sini adalah unik, bukan sahaja kerana ia pertama kali ditawarkan untuk pasaran di sini bagi CR-V, tetapi juga kerana tahap kemasan RS hanyalah untuk AWD di Thailand, dengan versi 2WD untuk pasaran di sana hanya ada versi ES.
Dari segi ukuran, CR-V mempunyai 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,681 mm tinggi, menjadikannya 68 mm lebih panjang, 11 mm lebih lebar dan 2 mm lebih tinggi berbanding model lama. Jarak antara rodanya juga bertambah 40 mm menjadi 2,700 mm.
Di luar, CR-V terbaru ini lengkap dengan lampu utama LED automatik, DRL LED, lampu isyarat LED dan lampu belakang kombinasi LED sebagai standard untuk semua varian — begitu juga dengan ciri pemegang pintu warna badan dan antena sirip ikan (warna badan untuk versi turbo, dan hitam untuk hibrid).
Varian 1.5L E menerima tambahan lampu kabus LED di depan dan pintu kuasa bebas kendalian tangan untuk ruang barangan belakang serta fungsi walk-away close. Varian V AWD pula menerima muncung ekzos krom. Bagi RS, ia menerima lencana RS, landasan bumbung, perumah cermin sisi hitam dan penutup gril aktif.
Untuk rim, ada tiga versi disediakan, dengan varian S paling asas menerima rim 17-inci lima-jejari dengan tayar 235/65 dalam penyudah Sparkle Silver. Varian E dan V pula berkongsi rim 18-inci yang sama, dengan rekaan lima-jejari dalam warna perak, tetapi gaya yang berbeza. Manakala untuk e:HEV RS pula, rim 18-inci yang sama digunakan tetapi diberi penyudah hitam berkilat. Tayar utnuk semua saiz 18-inci menggunakan Toyo Proxes R45 235/60.
Di dalam, rekaan papan pemuka penyerupai apa yang ada pada Civic FE, yang memberi nuansa baru yang jauh lebih segar bagi kabin CR-V — rekaan lebih bersih, stereng tiga-jejari, kemasan mesh lebar untuk corong pendingin dan skrin sentuh infotainmen apung — tetapi untuk varian S, hanya ada paparan tujuh-inci.
Ciri standard SUV terbaru ini termasuklah penghidup enjin jarak jauh, fungsi walk-away auto lock, pendingin dua zon dengan corong belakang, kawalan melayar, kerusi belakang larasan mekanikal (gelungsur dan rebahan penyandar lapan posisi) dan, untuk unit petrol, paparan kluster instrumen 7.0-inci TFT semi-digital dengan speedo meter analog.
Untuk kelengkapan bagi setiap varian pula, 1.5 S paling asas menerima kerusi balutan fabrik, stereng urethane dan kerusi depan larasan manual. E pula ditambah dengan kerusi balutan kulit campuran dengan stereng balutan kulit.
Pengecas tanpa wayar Qi (E ke atas) manakala Active Shutter Grille pula hanya untuk RS, begitu juga dengan Apple CarPlay tanpa wayar, hanya untuk varian hibrid, yang paling tinggi. Selain itu, V ke atas pula menerima kerusi pemandu dengan fungsi memori, kamera keliling dan kad kunci Honda, sementara RS menerima tambahan HUD.
Bagi varian E ke atas, kemasan balutan semuanya kulit hitam, dan unit infotainmen dengan skrin sentuh sembilan-inci. Sama seperti Civic, varian E dan V menerima kluster instrumen tujuh-inci semi digital dengan speedometer analog. Hybrid RS satu-satunya yang menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 10.25-inci.
Untuk kemasan, semua varian petrol termasuk versi AWD menerima panel kayu gelap di bahagian papan pemuka dan panel pintu, manakala RS menerima kemasan aluminium dengan hitam berkilat. Jahitan merah juga membezakan RS terutama di bahagian kerusi, stereng, tombol gear.
RS juga satu-satunya varian yang didatangkan dengan sistem audio Bose Premium dengan 12-pembesar suara — pertama kali digunakan untuk model ini yang ditawarkan di Malaysia. Ia juga satu-satunya varian yang menerima ciri Adaptive Driving Beam untuk lampu depan.
Turut melengkapi V AWD ialah pintu kuasa bebas kendalian tangan di belakang dan sistem kamera sisi LaneWatch (ciri kamera ini untuk semua varian). Di Thailand, Honda Sensing adalah standard untuk semua. Standard untuk semua varian juga adalah ciri telematik Honda Connect yang dikendalikan melalui aplikasi telefon.
Pilihan warna pula ada lima — Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Crystal Black Pearl, dengan Canyon River Blue Metallic menjadi warna terbaru. Pakej bodykit Modulo turut ditawarkan, begitu juga dengan beberapa pilihan aksesori lain.
https://paultan.org/2023/12/14/h ... lancar-di-malaysia/ |
|
|
|
|
|
|
|
Hesmes nye awak |
|
|
|
|
|
|
| |
|